PETALING JAYA - Memiliki wajah yang saling tidak tumpah dengan pelakon dan pelawak terkenal, Johan Raja Lawak membuatkan seorang jejaka yang ingin mencari pasangan hidup telah disekat seumur hidup daripada sebuah portal cari jodoh.
Portal tersebut melakukan 'sekatan selamanya' terhadap Mohamad Syaffiq Md Zali, 27, kerana didakwa menghantar emel berulang kali dan mengaku bahawa gambar 'artis' yang digunakannya adalah dirinya.
"Pada mulanya saya nampak laman tersebut di Facebook dan sengaja isi (mendaftar) sekadar suka-suka memandangkan umur pun dah masuk 27 tahun.
"Tapi, lepas 24 jam, portal itu hantar emel meminta saya mengemaskini akaun dan gunakan gambar sendiri. Pihak tersebut nyatakan gambar profil hendaklah sekurang-kurangnya 30 peratus menunjukkan bahagian muka," katanya yang berpandangan gambar yang diberikan telah pun mengikut syarat yang ditetapkan.
Mohamad Syaffiq ketika dihubungi mStar Online berkata, dia telah menjelaskan berulang kali bahawa gambar tersebut adalah dirinya, namun tidak menyangka punca dia disekat selama-lamanya kerana disangkakan menggunakan gambar seorang selebriti.
Pereka grafik bebas dari Muar, Johor itu bagaimanapun tidak berkecil hati dengan tindakan portal tersebut kerana merasakan insiden itu sesuatu yang melucukan.
Mohamad Syaffiq memberitahu bahawa dia turut dihubungi sendiri oleh pelawak dan penyampai radio tersebut pada pagi Jumaat sejurus posting mengenai kisah itu tular di laman sosial.
"Saya memang pernah berjumpa dengan Johan masa menonton persembahan dia dalam program lawak tidak lama dulu.
"Masa itu mungkin dia penat dan tidak perasan sangat, tapi Zizan yang juga berada di situ menegur wajah saya seiras dengan Johan," katanya yang kini menetap di Damansara.
Tambah lelaki itu, Johan berkata kepadanya bahawa dia akan mudah mencari jodoh selepas ini kerana memiliki wajah seperti pelawak itu.
Ujar Mohamad Syaffiq, dia berasa lucu apabila beberapa wanita mula menghantar pesanan peribadi kepadanya setelah disekat oleh portal cari jodoh tersebut.
Sumber: Mstar Online