Misbun Yakin Perseorangan Negara Mampu Beraksi Cemerlang Di Kedah Hari Ini


ALOR SETAR – Ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek menaruh keyakinan tinggi terhadap barisan pemain perseorangan mampu menyumbang mata penuh pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti di sini, bermula hari ini hingga 11 Februari.

Jelasnya, Datuk Lee Chong Wei selaku pemain perseorangan pertama pastinya sudah dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk menyumbang mata pertama negara.

Begitu juga dengan perseorangan kedua Lee Zii Jia dan perseorangan ketiga yang berkemungkinan besar menyaksikan penampilan Iskandar Zulkarnain Zainuddin dijangka mampu mempamerkan saingan yang hebat kepada pihak lawan.

“Kita akan buat percaturan dan kita harapkan ketiga-tiga pemain dapat sumbang mata penuh. Kalau mereka dapat bermain dengan baik, secara automatik keputusan yang baik akan terhasil.

“Kita ada pemain yang seimbang… muda dan tua. Yang membezakan mereka adalah pengalaman. Saya harap dapat membina satu pasukan terbaik untuk saingan esok,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di sini semalam.

Dalam pada itu, Misbun mengakui pertemuan menentang Thailand dalam aksi pertama Kumpulan C esok, adalah seimbang.

“Kita tidak boleh pandang ringan saingan Thailand. Saya andaikan pertemuan 50-50.

“Thailand mempunyai barisan seimbang dengan pasukan kita…ada perseorangan yang baik, pasangan beregu yang baik, begitu juga pasukan kita. Kelebihan kita ialah dengan kehadiran Datuk Lee Chong Wei,” katanya.

Misbun turut memberi respon terhadap prestasi Iskandar Zulkarnain dan menaruh harapan pemain berusia 27 tahun itu dapat mengekalkan momentum terbaiknya selepas aksi di Terbuka India, Sabtu lepas.

“Saya lihat prestasi Iskandar semakin meningkat dan saya sangat berharap agar momentum itu dapat diteruskan,” katanya.

Setakat ini, hanya Chong Wei dan Zii Jia sudah mengesahkan tempat manakala perseorangan ketiga sama ada Iskandar Zulkarnain atau Soong Joo Vern, yang akan diketahui hari ini.

Sementara beregu lelaki pula akan menyaksikan gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong akan diturunkan selaku beregu utama, sementara pasangan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin sebagai beregu kedua.

Malaysia diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Thailand, Taiwan dan Myanmar dengan misi meraih tempat secara merit ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Malaysia perlu mara ke separuh akhir pada kejohanan itu, yang juga merupakan pusingan kelayakan ke Piala Thomas 2018.

Dalam aksi lain, hari ini pasukan wanita juga akan turun beraksi menentang Vietnam bagi merebut tempat ke Piala Uber.

Skuad wanita diundi dalam Kumpulan Y bersama-sama Thailand, Vietnam dan Filipina.

Barisan pemain wanita terdiri daripada Soniia Cheah, Goh Jin Wei, Lim Yin Fun dan S. Kisona untuk perseorangan serta gandingan beregu Vivian Hoo-Woon Khe Wei dan Chow Mei Kuan-Tee Jing Yi, yang menggantikan tempat Lee Meng Yean yang mengalami kecederaan lutut. - Kedahnews.com