Kisah mengenai kedai makan di Kuala Ketil ini bermula apabila ianya telah menjadi buah mulut penduduk di sekitar kawasan Kuala Ketil, Kedah. Kisah ini dikatakan bermula mengenai sebuah kedai makan yang pernah wujud sekitar lebih 20 tahun yang lalu yang telah musnah dalam sebuah kebakaran.
Penduduk menyatakan bahawa kedai makan ini sering muncul dan beroperasi pada tengah malam serta ramai yang sudah terkena dengan kedai makan misteri ini. Di sini admin nak ceritakan satu pengalaman yang dihadapi oleh seseorang yang pernah melalui kawasan kedai makan tersebut.
Semasa kejadian itu berlaku mereka seramai 3 orang baru sahaja pulang daripada pergi memancing. Masa berjalan dengan begitu pantas sekali dan mereka 3 orang tidak sedar bahawa hari sudah lewat malam kerana umpan yang digunakan asyik mengena sahaja. Sedar tak sedar jam sudah menunjukkan ke angka 12.30 tengah malam dan cuaca pada ketika itu pula menunjukkan hari hendak hujan.
Apabila sudah selesai mengemas semuanya, mereka membuat keputusan untuk singgah ke kedai makan berhampiran untuk melapik perut kerana sudah lapar sangat. Mana-mana kedai makan yang buka pada masa itu pasti mereka akan serbunya.
Nak dijadikan cerita mereka tiga orang bersetuju untuk singgah di sebuah kedai makan yang nampak sunyi dengan lampu yang hidup segan mati tak mahu itu. Keadaan kedai makan itu kelihatan sungguh usang dan hanya mereka bertiga sahaja yang ada pada masa itu tidak ada pelanggan lain.
Hujan pula turun renyai-renyai ketika itu. Katanya mereka tidak berfikir apa-apa dah pada waktu itu kerana sudah lapar sangat-sangat. Hanya mahu mengisi perut yang sudah berbunyi. Semasa mereka duduk di meja makan, datanglah seorang perempuan cun untuk mengambil order dengan muka yang tidak tahu hendak senyum.
Muka perempuan itu dikatakan sangat pucat dan baunya sangat wangi. Selesai mengambil order perempuan itu pun berlalu meninggalkan mereka dan tidak sampai lima minit pun makanan yang dipesan tadi sudah siap. Bukan main terkejut lagi mereka pada masa itu kerana cepat sangat siapnya tetapi mereka tidak memanjangkan persoalan itu kerana sudah lapar yang teramat sangat.
Salah seorang daripada mereka ada juga curi-curi jeling perempuan itu yang duduk di kaunter pembayaran. Tajam sungguh renungan dia sampai jadi takut dibuatnya. Selesai makan mereka pun pergi ke kaunter untuk membayar. Sangat mengejutkan apabila ketiga-tiga makanan itu hanya RM5 sahaja.
Setelah membayar mereka beredar daripada kedai makan tersebut. Dua hari selepas itu mereka datang lagi ke kedai tersebut pada waktu siang. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati tempat itu telah kosong, padahal mereka sangat pasti bahawa mereka tidak silap tempat.
Nak dijadikan cerita seorang pak cik yang kebetulan lalu ke kawasan tersebut bertanyakan kenapa kami nampak sangat-sangat kebingungan dan seolah-olah sesat. Kami ceritkan semuanya kepada pak cik itu, tepuk dahi pak cik itu mendengarnya.
Katanya pak cik tersebut lebih 20 tahun lalu ada sebuah kedai makan yang diusahakan oleh dua beranak di sini. Namun mereka telah meninggal dalam kebakaran yang berlaku di kedai makan tersebut. Dua beranak itu tidak sempat untuk menyelamatkan diri.
Katanya lagi ramai yang sudah terkena di sini dan ramai yang sudah memakan cacing dan benda-benda kotor yang disediakan. Loya tekak bila mendengarnya. Tiba-tiba sahaja bula roma mereka bertiga berdiri tegak dan seram memikirkan kejadian pada malam itu.