Misteri Kehilangan Zulfadli Terjawab


BANGI - Misteri kehilangan Zulfadli Zulkiffli akhirnya terjawab apabila pemain badminton perseorangan itu memberitahu yang dia kini dalam proses pemulihan selepas dibelenggu kecederaan.

Zulfadli memaklumkan dia mengalami kecederaan buku lali kanan ketika beraksi di peringkat suku akhir Terbuka Macau pada November 2017. Memandangkan kecederaan itu kembali, doktor menasihatkannya untuk berehat selama enam hingga lapan minggu.

"Tahun lalu, selepas saya cedera di pusingan suku akhir Terbuka Macau, saya berehat dan melakukan fisio serta rehabilitasi. Tetapi dua minggu sebelum Thailand, saya rasa sakit di bahagian buku lali juga, tetapi bahagian berbeza daripada di Macau.

"Jadi selepas Thailand, saya membuat keputusan untuk menarik diri daripada Terbuka Malaysia, Terbuka Indonesia dan Terbuka India serta Purple League. Doktor menyarankan saya berehat enam hingga lapan minggu dulu, jika tidak ia mungkin semakin teruk.

"Oleh kerana saya perlu berehat, saya tidak pasti lagi akan perancangan tahun ini, malah All England pun saya tidak mendaftar. Jadi saya harap dapat pulih sepenuhnya," kata Zulfadli yang hadir menyaksikan aksi final badminton temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 di Uptown Sports semalam.

Disoal mengenai sasaran tahun ini, Zulfadli berkata dia berharap dapat memenangi sekurang-kurangnya aksi bertaraf GP Gold, Superseries dan ke atas, yang secara tidak langsung akan memperbaiki ranking dunia selepas tidak beraksi dalam tiga kejohanan.

"Saya sudah pernah menang dua kali GP, jadi saya harap tahun ini boleh menang sekurang-kurangnya GP Gold dan Superseries ke atas. Ini dapat membantu menaikkan ranking saya yang sudah jatuh.

"Saya belum pasti untuk Piala Thomas dan Sukan Asia, tapi Piala Thomas pada Mei jadi saya rasa masih sempat buat saya. Apa pun saya berharap dapat segera sembuh kerana tahun ini banyak acara besar," katanya.

Juara remaja dunia 2011 itu kini menghuni ranking ke-57 Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan ketika ini di adalah pemain perseorangan lelaki kelima terbaik negara di belakang Datuk Lee Chong Wei (2), Liew Daren (41), Chong Wei Feng (46), dan Lee Zii Jia (47).

Kehilangan Zulfadli sebelum ini mencetuskan persoalan apabila kelibatnya tidak kelihatan dalam tiga kejohanan terakhir, malah dia juga gagal dihubungi bagi mendapatkan perkembangan terbaru mengenai kerjayanya.

Sumber: BH Online