MOA Agih RM1.7j Bantuan Ihsan Banjir Di Kedah


ALOR SETAR – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memperuntukkan RM1.7 juta wang bantuan ihsan banjir kepada 792 peladang di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) yang terjejas akibat bencana itu tahun lepas.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, bantuan itu diberikan kepada peladang yang mengalami kerosakan tanaman padi akibat banjir yang berlaku pada pertengahan September dan Oktober tahun lepas.

"Bantuan ini merupakan susulan kejadian banjir yang menyebabkan tanaman padi seluas 952.382 hektar bagi musim 1/2017 di kawasan Mada mengalami kerosakan," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Bantuan Banjir Tabung Bencana Tanaman Padi, di sini semalam.

Jelas Tajuddin, pemberian wang ihsan tersebut bukti kerajaan tidak pernah meminggirkan nasib petani yang terjejas setiap kali berlakunya bencana.

Ujarnya, sejak 2003 kerajaan membelanjakan RM104 juta bagi membantu petani yang menjadi mangsa banjir dengan jumlah tertinggi disalurkan pada 2005 iaitu RM39 juta dan sebanyak RM23.8 juta pada 2010, iaitu ketika banjir buruk melanda negara ini.

Mengulas mengenai peningkatan produktiviti petani di bawah Mada, Tajuddin berkata, kerajaan telah membelanjakan lebih RM3 bilion bagi pembangunan infrastrutkur di kawasan itu, dengan RM2.2 bilion daripadanya melalui pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011.

Perkara itu membabitkan projek pemodenan kawasan penanaman padi seperti pembangunan tali air dan pewujudan rangkaian jalan ladang yang sempurna.

"Pembangunan terus dijalankan setiap tahun dan ini merupakan usaha kita bagi mencapai sasaran pengeluaran padi 10 metrik tan sehektar sekali gus meningkatkan taraf hidup dan pendapatan petani," katanya memetik Bernama.

Oleh itu, beliau menggesa petani agar mengamalkan amalan pertanian baik selain menerima serta mengguna pakai teknologi yang ada bagi membolehkan produktiviti dapat ditingkatkan.

Malah, pada ketika ini terdapat 57,000 pesawah di bawah Mada membabitkan tanaman padi seluas 106,805 hektar.

Terdahulu, Tajuddin turut menyerahkan bantuan alatan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) kepada projek MyGAP Kampung Banggol Basin, Pendang bernilai RM32,330. - Kedahnews.com