Mukhriz 'Bantah' Pembinaan Hospital Tambahan Untuk Penduduk Langkawi?


Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir 'dibedal' oleh pemilik akaun Facebook hari ini kerana mendakwa peruntukan RM1.3 bilion kepada Pulau  Langkawi yang diumumkan oleh  Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai 'menabur dedak' kepada rakyat.

Peruntukan itu termasuk pembinaan hospital tambahan, projek bekalan air, bomba dan penyelamat, naik taraf jalan dan kuaters kakitangan awam serta kemudahan untuk nelayan Langkawi.
   
"Mukhriz mula nak tunjuk pandai... tetapi beliau lupa bahawa peruntukan itu telah dirangka terlebih dahulu dalam RMK-11," kata mereka.

"Peruntukan membabitkan projek tadahan air, naik taraf hospital, bina balai bomba, kuarters dan jalan raya. Kalau untuk kebaikan  rakyat, kenapa perlu jadi isu?" tanya mereka.

Sementara itu, beberapa penduduk Langkawi pula mempersoalkan mengapa bekas Menteri Besar Kedah itu 'bimbang' dengan peruntukan kerajaan Persekutuan itu.

Mukhriz juga turut dibidas kerana beliau dan bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamd kini sedang berkempen  merayu derma daripada rakyat untuk membantu jentera PPBM dalam menghadapi PRU akan datang tetapi dalam masa yang mempertikaikan peruntukan kerajaan untuk kesejahteraan rakyat.

Pengerusi PH Kedah itu sewajarnya bangga kerana peruntukan berkenaan  diberikan di kawasan yang bakal ditandingi oleh bapanya.

Dr. Mahathir sebelum ini membayangkan mungkin bertanding di Parlimen Langkawi, Kubang Pasu dan Putrajaya.

Namun Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi PPBM itu belum berani menyatakan secara rasmi di mana beliau akan bertanding.

Pendirian Dr. Mahathir yang tidak konsisten membayangkan beliau tidak yakin akan menang di salah satu kerusi parlimen berkenaan. 

Seperti juga PPBM, pemimpin PAS Kedah turut mempersoalkan peruntukan yang disalurkan untuk pembangunan Langkawi walaupun manfaatnya adalah untuk rakyat di pulau itu termasuk penduduk yang menyokong PAS.

Pesuruhjaya PAS Negeri Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fahkhurazi berkata peruntukan itu membuktikan pilihan raya semakin hampir dan menyifatkannya sebagai  'janji kerajaan yang diragui'.

Namun demikian PAS Kedah tertarik dan menyambut baik pengumuman untuk menaik taraf infrastruktur bekalan air dan perumahan rakyat di Langkawi, katanya yang dipetik daripada Harakahdaily hari ini. - Kedahnews.com