Mukhriz Ganti Wan Azizah Sebagai TPM?

Pakatan Harapan yang diketuai DAP berkemungkinan besar melantik anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad iaitu Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri jika mereka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Bendahari Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pelantikan Mukhriz dilihat bagi menggantikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dikatakan akan berundur dari dunia politik dan tidak akan menjadi Timbalan Perdana Menteri setelah suaminya, Anwar Ibrahim memegang jawatan nombor satu negara.


Malah, katanya yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, setakat ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang merupakan individu paling berpengaruh dalam Pakatan Harapan tidak pernah menyebut atau mengesahkan siapa calon yang akan mengisi jawatan tersebut.

“Persoalannya sekarang, adakah Mukhriz akan mengambil alih sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah Wan Azizah berundur dari politik? Kit Siang tidak pernah mengesahkan siapa yang akan memegang jawatan itu.

“Dalam kes ini, tindakan Pakatan Harapan yang diketuai DAP bukan lagi mahu menyelamatkan Malaysia seperti yang dilaung-laungkan Dr. Mahathir tetapi menjadikan anaknya, Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri untuk langkah pertama menjadi Perdana Menteri,” katanya menerusi blog sskeruak.blogspot.my  hari ini. 

Sumber: Utusan