Mukhriz 'Tidak Malu' Mengaku Pameran Expo Muafakat Kedah 2018 Hasil Usahanya


SEPERTI juga kejayaan skuad bolesepak Kedah merangkul Piala Malaysia dan Piala FA tahun 2016 dan 2017,  Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga mendakwa  kejayaan kerajaan negeri yang dipamerkan di Ekspo Muafakat Kedah adalah juga hasil usahanya.


Beliau berkata, ia bukan usaha Menteri Besar selepas beliau sahaja.


Mungkin sebab itulah beliau turut melawat ekspo itu selepas ia dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi Sabtu lepas.


"Banyak yang saya lihat kejayaan dipamerkan adalah hasil usaha sewaktu saya jadi Menteri Besar, bermakna tak boleh dianggap sebagai kejayaan pemimpin baru, yang ambil alih hari ini dan esoknya mengambil kredit atas kejayaan yang dibuat,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.


Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ingin memberitahu rakyat Kedah bahawa beliau juga 'banyak berjasa 'kepada negeri ini walaupun tidak sampai dua tahun setengah menjadi Menteri Besar.



Namun Mukhriz mungkin tidak sedar, kedudukannya sebagai Menteri Besar telah dipilih oleh Datuk Seri Najib Razak yang hendak dijatuhkan oleh bapanya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Beliau perlu sedar, kemenangan BN Kedah pada PRU13 adalah kerja keras ahli dan pemimpin UMNO/BN termasuk Pengerusi UMNO dan BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.


Mukhriz tidak boleh 'mendabik dada' dan mendakwa kejayaan BN menawan Kedah adalah kerana beliau anak bekas Perdana Menteri atau 'kebijaksanaannya' mentadbir Kedah.


Tanpa sokongan pemimpin UMNO/BN dan rakyat yang mengundi BN, beliau tidak mungkin menjadi Menteri Besar.


Beliau kini sedang mencari kredit di atas usaha orang lain bagi mendapatkan sokongan rakyat kerana PPBM akan bertanding paling banyak kerusi DUN di Kedah pada PRU14.


Mukhriz tidak perlu malu untuk menyatakan kejayaan ekspo terbesar itu adalah juga hasil usahahya kerana rakyat Kedah tahu beliau sedang meraih simpati ketika PPBM pimpinan bapanya sedang menghadapi kemelut akibat hilang keyakinan oleh ahlinya sendiri.

Rakyat Kedah tidak akan bernostalgia lagi dengan pemimipin yang terdahulu apatah lagi mereka yang tidak mengenang jasa, mahu menumbangkan kerajaan dan mengejar cita-cita peribadi. - Kedahnews.com.