Myvi ‘Terhuyung-Hayang’ Dihentikan Pemandu Lain


RAKAMAN video sebuah kenderaan yang dipandu secara berbahaya di Bukit Jawi Golf Resort, Pulau Pinang kini tersebar menerusi media sosial.

Insiden mencemaskan itu dirakam kira-kira jam 11.20 pagi semalam oleh seorang pengguna jalan raya lain dan ia kemudiannya dimuat naik di laman Facebook.

Dapat dilihat, kereta Perodua Myvi berwarna putih itu berada dalam keadaan terhuyung-hayang sehingga memasuki lorong sebelah dan nyaris melanggar beberapa kenderaan lain.

Mujur, seorang lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish memintasnya pemandu Myvi berkenaan sebelum memintanya untuk berhenti.

“Saya tahu pakcik dah tua dan sudah pencen, tapi mengapa pakcik memandu berbahaya macam ini?

“Dah, pakcik ke tepi, pakcik ke tepi,” pekik lelaki berkenaan kepada pemandu lelaki yang dipercayai berusia 60-an itu.

Di media sosial, ramai pihak mengeluarkan kata-kata kurang enak dengan mendakwa kononnya pemandu itu berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.

Namun ada juga yang tampil menegur supaya netizen tidak membuat andaian negatif tanpa mengetahui punca sebenar lelaki terbabit memandu dalam keadaan begitu.

“Aku puji tindakan driver Wish tu matikan dan suruh pakcik tu duduk tepi, mungkin pakcik tu mabuk, mungkin nak pitam dan mungkin sakit..sekaligus menyelamatkan kedua-dua pihak sekiranya berlaku kemalangan.

“Bukan dia sengaja nak marah pakcik tu tapi itu je tindakan tegas yang perlu dicontohi orang sekeliling..tahniah brother 😉,” tulis Hafiz Fazrin. – Kedahnews.com