Nabila ‘Diugut’ Gara-Gara Dituduh Bising Dalam MRT


PENYANYI, Nabila Razali terkejut apabila mengetahui terdapat seorang individu memuat naik status berbentuk ugutan terhadap dirinya menerusi akaun sosial Twitter, baru-baru ini.

Meskipun sudah lali dengan kecaman netizen dan tidak mahu terlalu ambil pusing dengan segala komen negatif yang dilemparkan kepada dirinya namun status sebegitu dianggap sebagai keterlaluan.

“Saya nyanyi di dalam MRT tempoh hari atas undangan pihak TV3 bagi mempromosikan Anugerah Juara Lagu. Tapi perkara itu disalahertikan segelintir netizen yang anggap saya sengaja buat bising.

“Ada salah satu tweet tu ditulis nak tumbuk saya kalau jumpa saya di sana. Kenapalah sampai nak tumbuk, bukan saya buat salah pun.

“Tren yang​ kami naik itu juga merupakan tren khas untuk kempen pertandingan AJL dan tidak pun mengganggu pengguna MRT lain,” katanya seperti dipetik Mstar Online, semalam.

Pun begitu, pelantun lagu Pematah Hati itu namun tidak mahu mengambil sebarang tindakan undang-undang berhubung ‘ugutan’ tersebut.


“Setelah perbincangan dengan pengurusan rasanya tak perlu sampai nak buat laporan polis dan anggap itu mungkin hanya usikan nakal netizen.

“Namun, saya harap tidak jadi perkara macam ni kerana kita hidup dalam negara yang aman kenapa perlu ada sikap negatif sebegitu,” ujarnya.

Terdahulu, penyanyi kelahiran ibu kota itu memuat naik satu entri memaparkan seorang pemilik akaun Twitter @pikajue menulis satu kenyataan yang berbaur ugutan.

“Kalau aku dalam MRT ni, mau aku tumbuk perempuan ni,” tulis netizen berkenaan.

Gusar dengan keadaan itu, Nabila kemudiannya bertanyakan pendapat netizen adakah perlu dia membuat laporan polis berhubung ugutan sebegitu yang disifatkan seperti mengancam keselamatannya.  - Kedahnew.com