PENYANYI Nabila Razali menafikan sekerasnya bahawa dia adalah wanita bertudung yang menari sakan ketika pelancaran satu jenama tudung di sebuah disko ternama di ibu negara malam tadi.
Memetik laporan portal HMetro, Nabila akui terkejut dengan perkara itu dan menjelaskan bahawa dia sama sekali tidak pernah berkunjung ke kelab berkenaan.
“Saya bukan individu itu dan kini, jadual saya pun padat kerana terikat dengan urusan kerja sendiri yang lebih penting.
“Buat apa saya ke kelab. Saya tidak ada urusan kerja di situ pun. Namun, dakwaan ini terjadi mungkin kerana gaya tudung dan pemakaian ‘wanita itu’ seakan-akan saya.
“Jadi, secara tidak langsung ada penonton yang mendapat kiriman video itu terlepas pandang dan mereka ingatkan wanita itu ialah saya,” katanya.
Kata Nabila lagi, kalau adapun yang dia menari hanyalah di dalam video klip singlenya yang berjudul pematah hati di laman YouTube.
Sementara itu, ditanya mengenai adakah dia berkecil hati dengan perkara itu, gadis kelahiran ibu kota ini berkata dia bersikap terbuka dalam menerima hal itu.
“Memang bukan saya, jadi buat apa nak terasa. Lagi pun, saya memang tidak berada dalam acara itu. Apatah lagi, keadaan dalam kelab itu pun gelap.
“Jadi, bila video menari ini tersebar maka sesiapa saja boleh dikatakan seperti itu. Saya salah seorang katanya. Namun, saya tegaskan lagi itu bukan saya dan jangan serkap jarang,” ujar Nabila.
Menurut Nabila, dia akui sudah masak dan akur dengan lumrah sebagai selebriti yang mana begitu mudah terpalit dengan kontroversi di kala media sosial cukup hangat menjadi perhatian ramai. - Kedahnews.com