TEKNIK meninggalkan komen di ruang media sosial seperti Instagram khususnya bagi mempromosi produk adalah tidak salah sama sekali.
Namun, apa yang menjadi masalah adalah sikap peniaga yang dilihat ada kalanya meninggalkan komen pada entri yang tidak sepatutnya dan bagaikan tiada sikap sensitiviti terhadap ‘tuan rumah’.
Baru-baru ini, pelakon terkenal, Nabila Huda turut menjadi ‘mangsa’ golongan berkenaan apabila dilihat menerima komen berbentuk iklan yang mempromosi produk pencerahan kulit di salah satu foto di Instagram miliknya.
Menerusi komen itu, peniaga berkenaan dilihat mempromosi sejenis produk yang dipercayai boleh memutihkan kulit dalam hanya 3 hingga 14 hari sahaja.
Susulan perkara itu, Nabila atau lebih mesra disapa dengan panggilan Abil tidak hanya berdiam diri sebaliknya membalas komen berkenaan.
Menurut Abil, dia begitu selesa dengan tona kulit yang dimiliki pada masa ini selain memaklumkan pengambilan produk atau suplemen pemutih adalah tidak elok untuk jangka masa panjang.
Pada masa sama, Abil turut meminta orang ramai untuk berbangga dengan warna kulit yang dimiliki kerana ia antara yang paling cantik dalam dunia.
“Kenapa nak putih kalau saya suka berjemur? I love my skin so much! Stop selling this stupid whitening products girl. It’s not good to your skin pada masa akan datang. Jangan biasakan diri ambil produk putih ini semua.
“Takkan nak kena depends on product sampai tua untuk maintainkan putih itu. Berbanggalah dengan kulit kita, Nusantara!
“Girls, kita dilahirkan dengan kulit yang paling cantik dalam dunia. Pergilah travel satu dunia, semua akan jatuh cinta dengan kulit kita,” katanya.
Haaa… Kan dah kena ‘sound‘ setepek dengan Abil. Itu lah orang melayu selalu berkata, ‘cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar’ ya!
Bukan apa dikhuatiri percakapan yang sembarangan boleh membawa kepada akibat yang buruk kelak! – Kedahnews.com