Nahas Duke: 2 Pemandu Myvi Dipenjara 3 Tahun, Denda RM10,000


KUALA LUMPUR - Dua pemandu yang didakwa terlibat dalam kemalangan tragis di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke) masing-masing dihukum penjara tiga tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian tiga beranak, tiga tahun lalu.

Majistret Zilfinaz Abbas memutuskan demikian terhadap dua pemandu Myvi itu, Siti Noor Aini Mohd. Said, 39, dan Mohammad Fizal Reza Jamauddin, 34, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati keterangan daripada kedua-dua tertuduh tidak konsisten dan bersifat penafian semata-mata,” katanya.

Mengikut pertuduhan, penyelia restoran, Siti Noor Aini dan Mohammad Fizal Reza yang bekerja sendiri didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian Fairuz Nizam Husain, 35, dan isterinya, Nova Safitri Azhari, 27, serta bayi mereka yang berusia enam bulan, Nur Firuza Annisa.

Kejadian didakwa berlaku di Duke Kilometer 6, dari arah Ulu Klang ke Jalan Duta di sini antara pukul 12.31 tengah malam dan 1.05 pagi, 2 Mei 2015.

Dalam kejadian itu, Mohamad Fizal Reza yang juga bapa kepada tiga anak, memandu kereta Myvi bernombor pendaftaran WXE 695 berwarna putih manakala Siti Noor Aini yang merupakan ibu tunggal kepada seorang cahaya mata lelaki memandu kereta W 5192 F berwarna kuning.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000 jika sabit kesalahan. 

Sumber: Utusan Online