ALOR SETAR - UMNO Bahagian Kuala Kedah prihatin terhadap nasib empat beranak yang mendakwa terpaksa mendiami pondok usang di Kampung Kubang Panggas, di Kubang Rotan, di sini.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin berkata, pihaknya sebelum ini sudah mengemukakan permohonan baiki rumah untuk keluarga itu dan kini ia dalam proses untuk tindakan selanjutnya.
“Kita sememangnya ambil berat masalah penduduk sebegini itu. Disebabkan itu, kita sentiasa meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memberi maklumat setiap kali mengesan kes sebegini,” katanya.
Malah, katanya, pihaknya akan membawa Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) turun padang melawat keluarga itu untuk melakukan siasatan dan meneliti rumah mereka.
Sebelum ini, disiarkan kisah tentang sebuah pondok usang diperbuat dari sisa buangan ibarat syurga bagi empat beranak selepas rumah lama terbakar dan mula senget.
Siti Rohaya Mat Isa, 28, mendakwa terpaksa mendiami pondok bersama suami, Hamidi Shah Shahul Hamid, 36, serta dua anak perempuannya, Siti Nur Zulaikha, 7, dan Siti Nur Batrisyia, 6, sejak kira-kira enam bulan lepas.
Terdahulu, Abdullah Hasnan melawat beberapa rumah dilanda ribut petang semalam dan menyalurkan bantuan termasuk kotak Barakah demi meringankan beban penduduk.
Sumber: Sinar Harian