Nazri Hanya 'Serang Jutawan Gula' Bukan Masyarakat Cina


Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berasa gembira apabila akhirnya jutawan gula, Tan Sri Robert Kuok menafikan kenyataan yang dibuat penganalisis politik, Raja Petra Kamarudin.

Menteri Pelancongan itu berkata, walaupun penafian agak lewat selepas tiga hari isu itu timbul, ia amat dialu-alukan dalam menjernihkan kekeliruan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan, Kuok kini perlu mengambil tindakan ke atas Raja Petra untuk membersihkan namanya.

“Saya rasa gembira bila Kuok sudah keluar kenyataan penafian walaupun sudah tiga hari.

“Jadi kita nampak keikhlasan dia walaupun beliau patut menafikannya awal-awal.

“Bila tidak nafikan, netizen di laman sosial akan mainkan isu dan jadi besar.

“Selepas ini, Kuok perlu ambil tindakan ke atas Raja Petra yang juga blogger jika kenyataan sebelum ini tidak benar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis menandatangani persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Senegal dalam sektor pelancongan di Wow KL  hari ini.

Isu Kuok yang juga individu terkaya di Malaysia timbul selepas Raja Petra dalam sebuah portal mendakwa usahawan berusia 94 tahun mempu­nyai agenda untuk menggantikan pemerintahan kerajaan se­dia ada dengan ke­rajaan DAP bagi mem­boleh­kan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.

Raja Petra turut mendakwa, bagi merea­lisasikan impian tersebut, Kuok yang kini tinggal di Hong Kong dikatakan amat menginginkan ge­­lom­bang perubahan dalam kalangan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri memberi amaran agar kenyataan berhubung isu Kuok itu tidak disalahtafsir.

Jelas beliau, beliau hanya menyerang Kuok atas dasar dakwaan Raja Petra yang tidak dinafikannya sebelum ini.

Justeru, tegas beliau, ia tiada kena-mena dengan isu bahawa dirinya telah menyerang kaum Cina.

“Jangan ada salah faham dan tafsir. Saya hanya serang Kuok sebab Perdana Menteri memberi respon kepada isu itu.

“Jadi sebagai penjawat awam saya perlu mempertahan kerajaan dan Perdana Menteri.

“Ini kerana bila Kuok tidak buat penafian, beliau tahu ke apa perasaan orang Melayu. Malah semalam usahawan Cina yang saya jumpa pun tidak senang dengan isu ini,” katanya. 

Sebelum itu, Lim Kit Siang juga menafikan menerima sumbangan walaupun satu sen daripada Robert Kuok.

Namun kenyataan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Melaka kelmarin yang menyebut tidak mungkin Kit Siang akan menjadi Perdana Menteri menimbulkan berbagai persoalan.- Kedahnews.com