Netizen Samakan Gaun Sajat Dengan Lalat Hijau


RUMAH dah siap, pahat masih berbunyi…Meskipun telah beberapa hari Anugerah Juara Lagu ke-32 berlangsung, masih ramai yang memperkatakan majlis berprestij itu.

Bertemakan ‘Fesyen dan Muzik’, acara penuh gilang gemilang itu berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala lumpur dan dihadiri oleh ramai artis dengan pelbagai gaya serta busana.

Hadir ke majlis tersebut dengan mengenakan gaun sarat jemeki yang mendapat sentuhan halus pereka Gie Ismail, penampilan pengasas kosmetik terkenal iaitu Nur Sajat menjadi bualan hangat.

Pelbagai komen negatif dan lucu yang dilemparkan terhadapnya, sehingga ada yang mengatakan persalinan yang digayakan oleh Sajat itu saling tidak tumpah seperti lalat hijau!

Menunjukkan sifat kekentalan ‘jantan’ sejati, Sajat mengakui tidak terkesan langsung dengan kecaman itu dan enggan mengambil pusing kritikan negatif masyarakat.

“Ya, saya ada tengok juga gambar berkenaan. Tak mengapalah. Biarlah orang nak kata apa pun sebab takkan lah saya nak matah dengan apa andaian orang.

“Tak kisahlah kalau nak labelkan baju kita pakai macam lalat ke apa ke. Ada pemikiran sesetengah orang macam terlalu eksotik dan kita tidak boleh sekat fantasi orang,” kata Sajat dipetik portal Media Hiburan.


Menurut Sajat lagi, dia tidak kisah dengan segala komen orang ramai selain merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak yang sudi mengundang beliau ke majlis berprestij tersebut.

“Sudah lama tak pergi event macam tu, siap kena lalu red carpet lagi. Terima kasih pada yang sudi jemput,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Sajat kini dikatakan sedang sibuk menjalani penggambaran untuk sebuah program televisyen online yang bakal ditayangkan secara atas talian tidak lama lagi.

Selain itu, Sajat juga dikatakan dalam perancangan memilih tarikh sesuai bagi pelancaran single sulungnya yang turut menampilkan pengasas produk D’herbs, Datuk Seri Aliff Syukri sebagai penampilan khas. - Kedahnews.com