NS Mampu Bangkit Menentang Kedah: Rizal


SEREMBAN - Skuad Negeri Sembilan tidak akan membiarkan kekurangan yang ada dalam pasukan itu sebagai halangan untuk mereka memburu kemenangan, ketika turun menentang Kedah pada saingan Piala FA, di Stadium Darul Aman Alor Setar, Jumaat ini.

Pertahanan pasukan itu, Mohd Rizal Fahmi Rosid, berkata dia dan rakan sepasukan tetap fokus ke arah mengembalikan semula kekuatan skuad Hobin Jang Hobin, selepas mereka merekodkan tiga kekalahan dalam saingan Liga Super setakat ini.

Pemain berpengalaman berusia 31 tahun itu berkata, pihaknya yakin pasukan itu masih berupaya untuk bangkit dengan persembahan lebih baik dan seterusnya mencapai kemenangan pada perlawanan akan datang terutama ketika bertemu skuad Helang Merah, pada aksi pertama Piala FA, Jumaat ini.

"Walaupun kekalahan terbaru kepada Terengganu FC (TFC) dalam aksi liga, Jumaat lalu amat mengecewakan, tapi kami sudah melupakannya dan mahu menjadikannya sebagai pengajaran berguna supaya tidak berulang lagi pada perlawanan akan datang.

"Kini, fokus kami adalah kepada usaha mengatasi segala kelemahan itu dan meningkatkan lagi prestasi serta persembahan, kerana sedar cabaran dalam Piala FA, lebih mencabar.

"Namun, saya yakin dan percaya, walaupun terdapat kekurangan tetapi pasukan masih berupaya untuk memberikan saingan dan seterusnya mencapai kemenangan pada aksi menentang Kedah, Jumaat ini," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pertemuan itu, Rizal Fahmi berkata, walaupun sedar skuad bimbingan Ramon Marcote itu dilihat lebih berwibawa selain memiliki reputasi besar dalam liga tempatan, namun bukan mustahil untuk mereka menafikan kehebatan skuad terbabit.

Malah, bekas pemain Selangor itu akui peluang mereka tetap seimbang kerana kedua-dua pasukan masih dalam proses mencari rentak terbaik dalam saingan Liga Super dan masing-masing juga mempunyai kelebihan serta kelemahan.

Justeru, dia percaya pertembungan pada saingan kalah mati itu nanti bakal menentukan pasukan mana yang lebih teruji.

"Memang dari segi faktanya kelebihan berpihak kepada Kedah kerana mereka tampil selaku juara bertahan selain beraksi di laman sendiri, tapi itu tidak bermakna kami tidak boleh menewaskan mereka.

"Kami akan berusaha memberikan tentangan yang baik untuk mencapai keputusan memuaskan. Saya yakin dan percaya, rakan-rakan dalam pasukan juga bersedia untuk memikul tanggungjawab itu nanti kerana kami juga tidak mahu tersekat dalam kempen Piala FA musim ini.

"Apa yang penting, kami perlu melaksanakan setiap tugasan diamanahkan oleh jurulatih dengan baik bagi memastikan kemenangan dapat dicapai ke atas Kedah," katanya.

Sumber: BH Online