Orang Ramai Perlu Waspada Emel Palsu Tawar Kerja Guna Nama UM


KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan penipuan pihak tidak bertanggungjawab yang menawarkan pekerjaan menerusi emel menggunakan nama Universiti Malaya (UM).

UM dalam satu kenyataan berkata pihak berkenaan menggunakan emel ‘Employment offer letter from University of Malaya, Malaysia’ yang seolah-olah ia ada kaitan dengan UM.

“Terdapat pihak yang merekrut ekspatriat atau warganegara asing serta mendapatkan bayaran pendahuluan untuk mendapatkan permit kerja atau visa dengan menggunakan nama UM,” menurut kenyataan itu.

Universiti itu menegaskan semua eksesais pengambilan dilakukan melalui saluran rasmi dan pihak universiti tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau ejen yang bertindak bagi pihaknya untuk sebarang urusan pengambilan.

Katanya laman web rasmi universiti adalah http://um.edu.my dan komunikasi menerusi emel mengenai pengambilan pekerja dihantar menggunakan domain @um.edu.my. dan sebarang format lain adalah palsu. – Bernama