Padang Terap Kini Rancak Membangun Di Bawah BN


PADANG TERAP - Padang Terap yang mempunyai kira-kira 62,000 penduduk kini berwajah baharu apabila pelbagai program pembangunan dirangka terutama selepas kejayaan Barisan Nasional (BN) merampas kerusi Parlimen berkenaan daripada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mengambil sempena nama sejenis pohon yang tahan kemarau dan bergetah yang dipanggil pokok terap atau Artocarpus Elasticus, kawasan terletak bersempadan dengan Thailand pada bahagian utara dan daerah Sik serta Pendang di sebelah barat itu merupakan daerah ketiga terbesar di Kedah.

Dengan keluasan 1,357 kilome­ter persegi, kawasan Parlimen Padang Terap turut mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Ne­geri (DUN) iaitu Kuala Nerang dan Pedu yang juga dimenangi BN pada PRU-13 yang lalu.

Berpegang kepada falsafah, kesejahteraan rakyat adalah hasil daripada kerajaan yang hebat dan berkualiti maka Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak menoleh ke belakang lagi apabila diberi kepercayaan untuk membangunkan daerah yang penduduknya terdiri daripada kaum Melayu, Cina, India serta Siam itu.

Menurut Mahdzir, hubungan baik antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri membolehkan banyak prasarana dibangunkan dan dinaik taraf di kawasan Padang Terap antaranya, pembinaan Mahkamah Syariah dan Pejabat Pentadbiran Agama Islam daerah yang baharu membabitkan kos sebanyak RM8.9 juta.

“Bagi memenuhi keperluan rakyat yang beragama Islam di sini, kita juga berjaya mendapatkan peruntukan menaik taraf Masjid Pulau Kijang di Kuala Nerang yang menelan belanja sebanyak RM5.2 juta.

“Malah, Padang Terap juga bakal mempunyai masjid daerah baharu yang dianggar bernilai RM10 juta. Selain itu sebanyak RM7.39 juta dibelanjakan kerajaan untuk menaik taraf jambatan yang menghubungkan Kampung Bukit Buluh di Lubuk Merbau ke jalan utama dan Kuala Nerang,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam tempoh hampir lima tahun ini juga, beliau memberitahu, sebanyak RM15 juta dibelanjakan kerajaan untuk menaik taraf Loji Rawatan Air Lubuk Merbau dalam memastikan bekalan air sampai kepada penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Mahdzir berkata, pelbagai kemudahan prasarana yang berjaya dibawa kerajaan BN untuk kemudahan rakyat Padang Terap antaranya projek pembinaan round­about Naka yang menelan kos RM500,000, membina titi Kampung Juluk yang memberi manfaat kepada 500 penduduk dari lima buah kampung serta membaik pulih Loji Air Kuala Nerang.

Dalam usaha merancakkan pembangunan sosioekonomi di Pendang, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Pertanian daerah telah membuka peluang baharu kepada penduduk di sini khususnya pekebun kecil dan penoreh getah menjana pendapatan sampingan menerusi tanaman cendawan jerami atau volvariella.

“Impak kejatuhan harga getah kira-kira empat tahun lalu memberi kesan yang besar kepada penoreh dan pekebun kecil di sini. Dalam usaha membolehkan mereka menjana pendapatan sampingan, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan tanaman cendawan jerami.

“Kejayaan menarik minat penduduk di daerah ini untuk mengusahakan cendawan jerami tanpa bergantung kepada hasil jualan susu getah semata-mata telah membuka lembaran baharu de­ngan penubuhan Pusat Pengeluaran dan Pengembangan Cendawan (PPPC) Volvariella di Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang,” ujarnya.

Menurut Mahdzir, penubuhan PPPC hasil kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menerusi penyelidikan oleh Agensi Nuklear Malaysia yang menelan kos sebanyak RM300,000 itu membolehkan pasaran cendawan jerami diperluaskan ke seluruh negara.

“Sebuah Stesen Penyelidikan RRIM (Lembaga Getah Malaysia) Sungai Sari juga dibangunkan di daerah ini dalam usaha meningkatkan produktiviti pengeluaran hasil getah,” jelasnya.

Selain itu, kata beliau, pihak­nya juga berjaya memperoleh peruntukan sebanyak RM250,000 untuk membolehkan projek tanaman orkid dan pisang dijalankan dengan menggunakan kaedah kultur tisu di Kampung Padang Setol, Pedu.

“Bagi membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) pula, kita bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk mewujudkan Smart Cabin di Pekan Naka yang membolehkan mereka menjalankan perniagaan dengan kadar sewa kurang dari pada RM250 sebulan,” tegasnya.

Dalam soal pembangunan modal insan pula, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan membe­ritahu, pembinaan Kolej Komuniti Padang Terap yang menawarkan kursus Sijil Sistem Komputer dan Sokongan serta Sijil Pemasangan Elektrik diharap memberi peluang kepada penduduk di daerah ini khususnya untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Kita juga bercadang untuk membina sebuah sekolah berasrama penuh integrasi di daerah ini selain membina sebuah Sekolah Menengah Kebangsaan Kurung Hitam untuk kemudahan pelajar di kawasan berkenaan,” katanya.

Mahdzir berkata, sebanyak 286 unit rumah dibina di Taman Belimbing, di sini, menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) bagi memberi peluang kepada rakyat Padang Terap khususnya mereka yang berpendapatan tidak mele­bihi RM3,000 sebulan memiliki kediaman sendiri.

“Pembinaan rumah berkenaan adalah hasil inisiatif Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mahu lebih banyak PPR dan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dibangunkan untuk generasi muda berpendapatan rendah dan sederhana.

“Rumah yang mempunyai tiga bilik dilengkapi kemasan lantai dengan keluasan 65 meter persegi itu dijual pada harga RM35,000 hingga RM45,000 seunit berban­ding harga pasaran antara RM150,000 hingga RM160,000 seunit.

“Untuk projek ini kerajaan menyediakan subsidi sebanyak 75 peratus daripada harga asal kepada pembeli,” tambahnya.

Sumber: Utusan