Pakatan Hanya Pengacau, Bukan Lawan Yang Digeruni Seperti BN, Kata Pemimpin PAS


PAS menyifatkan Pakatan Harapan (PH) hanya pengacau dan bukan lawan yang digeruni untuk parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Dalam hal ini PAS sedikit pun tidak gentar dengan ancaman PH yang turut diwakili Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Bagi Timbalan Pesuruhjaya PAS Trengganu  Saiful Bahri Mamat, gabungan parti pembangkang yang diketuai DAP itui sedikit pun tidak memberi ancaman kepada PAS.

 "Yang kita geruni hanyalah Barisan Nasional (BN) kerana parti ini adalah lawan sebenar PAS sejak sekian lama.

"Parti politik yang bertapak di negeri ini juga adalah PAS dan BN, jadi setakat PH kita tidak hairan pun. Mereka ini hanya pengacau saja," katanya yang dipetik darpada BH semalam.

Beliau berkata, PAS juga tidak gentar berdepan lawan tiga penjuru dengan BN dan PH kerana parti itu sebelum ini juga sudah melalui pertandingan sama dalam PRU lalu.

"PAS sudah lama bersiap sedia menghadapi PRU-14. Jika berdepan tiga penjuru sekali pun, kita tidak gentar dan tidak memberi kesan.

"Pada PRU-13, kita sudah hadapi pertandingan tiga penjuru antaranya di kerusi Parlimen Dungun, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi dan DUN Permaisuri menentang PKR dan BN.

"Apatah lagi ketika itu kita bersama PKR dalam pakatan pembangkang, tetapi kita tetap lawan," katanya.