“Pandang Positif… Saya Bukan ‘Jual’ Anak” – Hafiz


MEMBUKA akaun media sosial untuk anak sering dilihat masyarakat sebagai salah satu medium meraih pendapatan oleh artis.

Persepsi tersebut sering ditolak oleh artis namun bagi penyanyi, Hafiz Suip, tindakannya membuka akaun Instagram untuk cahaya mata sulungnya, Muhammad Riyadh Zafri sebagai rezeki untuk anaknya itu.

Jelas Hafiz, dia bukan ingin menjual ‘anaknya’ di media sosial tetapi menganggap perkara tersebut sebagai rezeki dan dalam masa sama berkongsi kegembiraan bersama peminat.

“Pada saya jika itu berlaku, ia adalah rezeki anak saya. Itulah realiti dunia seni sekarang dan ia boleh menjadi tambah nilai kepada masa depannya juga,” kata Hafiz.

Jelas Hafiz, dia tidak mampu untuk menutup mulut orang yang menganggap perkara ini sebagai ‘menjual’ anak serta berpandangan perkara ini perlu dilihat dari sudut positif sebagai salah satu medium para artis meraih pendapatan sampingan.

“Kita pandang positif. Orang boleh cakap apa sahaja dan saya pun tak boleh halang namun itu bukan bererti saya menjual anak sebaliknya ia berbalik kepada rezeki anak,” katanya.


Dalam pada itu, penyanyi yang popular dengan lagu Awan Nano itu menyifatkan sudah mendapat tawaran daripada pelbagai pihak walaupun baru sahaja membuka akaun Instagram tersebut.

Walaubagaimanapun, sebagai bapa, Hafiz akan memantau dan meneliti tawaran yang diterima terlebih dahulu agar tidak dimanipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Buka Instagram untuk anak memang ada baik dan buruknya. Itu tanggungjawab saya pula untuk pastikan semuanya terkawal dan teratur,” kata Hafiz memetik portal mStar Online.

Hafiz yang mendirikan rumah tangga bersama Nureffy Jasreel Abdullah pada Mei 2016 itu dikurniakan cahaya mata sulung mereka pada 31 Disember lalu.

Beralih kepada perkembangan seninya, Hafiz yang ditemui pada majlis pelancaran muzik video artis bawah naungan Rocketfuel mengakui karier nyanyiannya agak perlahan sejak tiga tahun lalu dan ingin kembali aktif.

Dengan itu, Hafiz akan tampil dengan dua lagu rancak iaitu Kejar dan Hari Ini Dalam Sejarah sebagai pembaharuan selain sebagai salah satu strategi bersaing dengan bakat-bakat baru yang tumbuh bak cendawan.

“Saya kena tampil berbeza dan lagu rancak ini boleh menjadi pembakar kepada karier saya tetapi itu bukanlah bererti saya tidak lagi mahu menyanyi lagu balada.

“Cuma saya ingin buat kelainan selain perlu mengikut peredaran muzik yang telah banyak berubah dan mengikut selera pendengar,” ujar Hafiz.

Menurut Hafiz, perubahan rentak yang dibawa olehnya juga diterima baik oleh peminatnya dan perkara itu membuatkan dirinya lebih bersemangat untuk kembali aktif mewarnai industri seni suara negara. – Kedahnews.com