Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terus menghadapi tekanan daripada sayap kepimpinannya apabila mereka merasai bahawa parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu sudah tiada lagi masa depan di negara ini.
Hari ini pemimpin sayap PPBM di Kota Bharu pula menyuarakan bahawa mereka telah hilang kepercayaan terhadap parti itu dan juga pada Pakatan Harapan
Naib Ketua PPBM Bahagian Kota Bharu, Mohd Nor Hashim Che Min berpendapat parti itu tidak akan menang pada PRU-14 berikutan pelbagai masalah yang sedang dihadapi sekarang ini.
.
"Kita kecewa dan tidak berpuas hati dalam banyak isu terutama pengagihan kerusi di Kota Bharu dan di daerah lain. Masalah yang timbul kini apabila Parti Amanah Negara (PAN) mahu tiga kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Bharu.
"Malah, daerah lain juga mengalami masalah sama seolah-olah PPBM dipinggirkan sedangkan kita memiliki jentera yang cukup jika dibandingkan dengan PAN, kata Mohd Nor Hashim pada sidang media di Kota Bharu.
Menurutnya berbincangan isu pengagihan kerusi sudah mengambil masa beberapa bulan, namun sehingga kini tiada kesudahan dan mencapai penyelesaian apabila setiap parti masing-masing mahu meletakkan calon,.
Hadir pada sidang media itu Ketua Pemuda PPBM Kota Bharu, Nik Mohd Adhwa Nik Haris; Ketua Srikandi Kota Bharu, Normala Abdul Kadir.
Mohd Nor Hashim berkata, isu berkenaan sudah dibawa ke peringkat tertinggi berikutan terlalu banyak masalah timbul, namun masih tiada penyelesaian menyebabkan mereka tawar hati dengan parti.
"Setakat ini kita belum mengambil keputusan untuk keluar parti dan masih dalam peringkat perbincangan sebelum keputusan dibuat.
"Namun realitinya, masa depan PPBM sudah tiada dan Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya memberi laluan kepada pemimpin lebih muda memandangkan beliau sudah berusia 93 tahun dan mempunyai masalah penyakit.
"Malah, orang Melayu dalam Pakatan Harapan semakin lemah dan DAP pula menjadi semakin kuat. Jelas sekarang DAP yang menguasai Pakatan Harapan," katanya yang turut menggesa parti mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) semula.
Sementara itu, Normala berkata, masalah yang berlaku ini perlu diselesaikan segera sebelum semakin ramai ahli tidak berpuas hati dan mengambil keputusan keluar parti.
PPBM kini dilihat semakin 'tenat' apabila lebih ramai ahli keluar parti, banyak aduan dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) serta cuba 'dipinggirkan' oleh parti lain termasuk DAP dan PKR di dalam agihan kerusi DUN di Selangor dan Negeri Sembilan.- Kedahnews.com