PAS akui tidak berjaya meningkatkan perjuangan Islam yang dibawa parti itu ketika menjalinkan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan parti pembangkang - Semangat 46, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat .
Ini kerana bekas rakan sekutunya tidak setia dalam persefahaman tahaluf siyasi apabila melanggar dasar dan matlamat parti itu memperjuangkan Islam.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS telah menjadi 'mangsa penindasan' dan ditekan sehingga berdepan cabaran dari dalam serta luar parti sejak menceburi dunia politik tanah air.
Menurutnya, PAS yang memiliki asas perjuangan meletakkan Islam paling utama, terus berkembang dengan kekuatan sendiri biarpun pernah kalah dalam beberapa pilihan raya umum (PRU) dan sama sekali tidak terkubur.
"Tahaluf siyasi atau perjanjian persefahaman politik dengan beberapa parti seperti Semangat 46 dan DAP serta PKR dalam Pakatan Rakyat gagal kerana rakan-rakan tidak setia apabila melanggar dasar dan matlamat PAS, iaitu Islam," katanya.
Bagaimanpun semasa PAS menyertai Barisan Nasional pada 1974 setelah syarat-syarat berkaitan ketinggian kedudukan Islam diterima hingga dapat menimbulkan kesedaran Islam di banyak peringkat negara.
Beliau membayangkan, jika PAS bersama Gagasan Sejahtera menang atau menjadi pembangkang yang kuat, parti boleh bekerjasama dengan parti lain untuk membentuk kerajaan dengan syarat mereka menerima dasar Islam.
Hadi yang juga ahli Parlimen Marang menyebut perkara itu ketika berucap pada majlis pelancaran Manifesto PRU Ke-14 dan Gagasan Sejahtera peringkat Kedah di Kompleks PAS dekat Kota Sarang Semut ,malam tadi.
Manifesto itu yang akan diguna pakai bagi tiga negeri utara, iaitu Pulau Pinang, Kedah dan Perlis, menampilkan 15 agenda teras untuk menjadi asas pentadbiran sesebuah negeri.
Abdul Hadi berkata, Gagasan Sejahtera disertai beberapa parti politik dan tokoh pemimpin lama yang membawa konsep baharu. - Kedahnews.com