BUKAN duduk, tetapi berdiri. Itu kelainan majlis akad nikah pasangan pengantin di Kampung Lebak Engad, Kota Belud, semalam.
Dalam majlis perkahwinan itu, akad nikah dibuat secara berdiri hingga menarik perhatian tetamu berbanding kebiasaan apabila pengantin perlu duduk bersila.
Malah, pada majlis itu orang ramai turut berdiri ketika pengantin dinikahkan oleh jurunikah.
Difahamkan, adat itu dilakukan berikutan pengantin lelaki daripada etnik Bajau Sama keturunan Datu berasal dari Kampung Jawi-Jawi, Kota Belud.
Abdul Masdeh Alibin, 24, dan isterinya Che Nilawati Akup, 22, disatukan dengan mas kahwin RM300 serta hantaran RM10,400.
Abdul Masdeh berkata, bernikah secara berdiri antara adat yang digunakan dalam kalangan keturunan Bajau Sama berketurunan Datu.
"Sejak awal lagi, keluarga kedua-dua pihak merancang mengadakan majlis mengikut adat." katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Masdeh berkata, dia agak berdebar disebabkan perlu melafazkan akad dua kali.
Katanya, dia dan isteri berkenalan kira-kira lima tahun lalu sebelum mengikat tali pertunangan pada tahun lalu.
Terdahulu, dalam majlis itu antara adat lain yang turut dibuat ialah menggunakan 'usungan' di mana pengantin lelaki diarak menggunakan tandu yang dihias menggunakan kain 'sempangan' bercorak khas bagi kaum Bajau.
Sumber: Metro