ALOR SETAR - Keadaan mereka yang sama-sama lumpuh dan berkerusi roda tidak menghalang sepasang pengantin orang kurang upaya (OKU) untuk mendirikan rumah tangga dengan sekali lafaz di Kampung Menerong, Pokok Sena di sini, Isnin.
Perkenalan singkat pasangan tersebut, Amin Ridzuan Che Mohamad, 31, dengan Siti Nor Azizah Abdul Aziz, 29, menerusi kumpulan sembang WhatsApp, menerbitkan perasaan cinta sehingga terpateri ikatan suami isteri.
Majlis perkahwinan mereka menarik perhatian ramai apabila pasangan mempelai diarak rakan OKU yang juga berkerusi roda dan diraikan dalam majlis persandingan sederhana tetapi meriah dengan kehadiran lebih 1,000 tetamu.
Bagi Amin Ridzuan mengakui, dia amat bersyukur ditemukan jodoh dengan seorang wanita yang penyayang dan berharap perkahwinan mereka berkekalan.
"Kami berkenalan dalam kumpulan WhatsApp tahun lalu. Pertemuan pertama di rumah Azizah sebelum kami mengikat tali pertunangan tiga bulan kemudian pada Oktober tahun lalu.
"Isteri saya sangat manis orangnya dan yang penting, kami saling memahami kerana masing-masing tidak mampu berjalan," katanya yang lumpuh selepas terbabit dalam kemalangan tujuh tahun lalu.
Manakala, Siti Nor Azizah pula berkata, beliau tidak pernah merasai nikmat berjalan sejak kecil selepas lumpuh akibat demam panas.
"Saya sudah biasa duduk di rumah saja. Selepas ini, saya akan cuba melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dengan sebaik mungkin," katanya memetik BH Online.
Kedua-dua suami isteri ini adalah penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mereka menjana pendapatan melalui perniagaan dalam talian.
Sementara itu, sahabat mereka yang juga OKU, Syazani Md Saad, 35, berkata kehidupan pasangan suami isteri OKU menuntut ketabahan dan kesabaran tinggi.
"Kekuatan itu perlu dua kali ganda daripada pasangan normal. Saya mendoakan yang terbaik untuk mereka, dan semoga kekal hingga ke jannah," ujarnya. - Kedahnews.com