KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melancarkan Op Selamat ke-12 sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Kawasan Rehat dan Rawat Ulu Bernam (arah Selatan) di Km398, Lebuhraya PLUS, Isnin depan.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Seri Tajuddin Md Isa berkata, Op Selamat berkenaan akan dilancarkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Tambahnya operasi tersebut akan berlangsung selama 16 hari sehingga 21 Februari ini.
"Adalah penting untuk orang ramai yang akan meninggalkan rumah masing-masing sepanjang musim perayaan ini untuk memaklumkan kepada pihak balai supaya rondaan boleh dilakukan.
"Op Selamat ini yang diadakan semasa musim perayaan adalah bertujuan untuk mengurangkan kemalangan di jalan raya dan memastikan pergerakan trafik di lebuh raya sentiasa terkawal," katanya selepas pelancaran Kempen Kesedaran Jenayah sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2018, di sini,semalam.
Turut hadir di majlis itu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob.
Sumber: Astro Awani