KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius dakwaan dan persoalan dibangkitkan menerusi satu pautan Facebook dengan memuat naik gambar dua kenderaan kononnya digunakan pasukan itu, tetapi mempunyai lambang negara lain.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, menjelaskan kedua-dua kenderaan itu sebenarnya digunakan sebuah produksi yang sedang menjalani penggambaran filem bertajuk 'The Original Sin' di sekitar Putrajaya.
Katanya, filem itu antara lain mengisahkan mengenai kehidupan seorang pegawai polis di sebuah bandar raya rekaan dinamakan 'Han City' dan ia untuk pasaran China.
"PDRM mengesan satu posting dimuat naik di Facebook Page (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid>20115088557725
71&id>1595769104013217) yang menggunakan nama dan gambar profil seorang bekas pemimpin negara.
"Turut dimuat naik bersama posting itu adalah dua keping gambar kenderaan kononnya digunakan pasukan polis negara ini.
"PDRM memandang serius dakwaan dan persoalan dibangkitkan di pautan Facebook itu kerana ia jelas berniat serong dan cuba membangkitkan persepsi negatif terhadap agensi kerajaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Asmawati menasihati orang ramai menjadi pengguna berhemah dan berhati-hati menggunakan media sosial serta mengelak daripada membuat sebarang kenyataan yang boleh menjurus kepada fitnah.
Beliau berkata, orang ramai juga dinasihatkan tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang status tanpa mendapat maklumat sahih kerana ia boleh membawa implikasi negatif terhadap pihak tertentu.
"Jadilah pengguna berhemah, bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan mana-mana platform media sosial atau rangkaian komunikasi untuk menyebar perkara yang boleh membangkitkan kegusaran masyarakat.
"Adalah tidak wajar mana-mana pihak menyalahgunakan gambar orang kenamaan sebagai profil akaun media sosial mereka untuk mempromosikan agenda tersendiri," katanya.
Terdahulu, gambar dua kenderaan kononnya digunakan PDRM viral di media sosial sejak beberapa hari lalu hingga mengundang pelbagai reaksi negatif netizen terhadap kerajaan.
Sumber: BH Online