KULIM - Seorang pelajar tingkatan empat, Muhammad Solihin Rosdi dari Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kenari ditemui maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas ke dalam longkang di Taman Tiong, di sini.
Kejadian tersebut disedari seorang penjalan kaki ketika melalui jalan tersebut kira-kira jam 5 petang semalam.
Bapa saudara mangsa, Roslan Baharum, 51, berkata, sejak pagi, ahli keluarga Muhammad Solihin berasa bimbang dan mencarinya di seluruh kawasan Kulim, namun tidak berjumpa.
"Dari pagi, ahli keluarga dia dok cari. Lepas Subuh dia kata nak pi (pergi) beli nasi lemak sekejap, dia naik motosikal.
"Selalu kalau nak pi sekolah mak dia yang hantar. Tapi hari ini dia pi sendiri. Semua orang don tunggu dia, puas juga dok cari," katanya.
Menurutnya, dia hanya sempat menemui arwah pada malam kelmarin apabila Muhammad Solihin datang ke rumah neneknya di Keladi.
"Kami semua tahu dia sudah tak ada bila polis telefon kira-kira jam 5.30 petang tadi.
"Memang tak sangka, berjam-jam kami cari akhirnya kami temui dia dalam keadaan begini," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar mengesahkan kejadian.
"Mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sumber: Sinar Online