TAMPIN - Seorang pelajar perempuan terbunuh, manakala dua rakannya cedera, akibat terkena bilah pisau traktor mesin rumput yang melayang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abd Rahman, Gemas di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Abd Razak, berkata dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, Nur Afini Roslan, 14, mati di lokasi, dipercayai selepas terkena bilah yang melayang.
Beliau berkata, dua pelajar cedera ringan adalah Abdullah Hazlan, 14, dan Mohd Farhan Reza Badrol Hesam, 13.
"Polis masih menjalankan siasatan lanjut bagaimana kejadian itu berlaku.
"Namun, difahamkan ketiga-tiga pelajar itu berada berhampiran traktor berkenaan yang sedang memotong rumput di padang sekolah berkenaan sebelum kejadian itu berlaku.
"Pihak polis menerima panggilan kecemasan sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi dengan segera. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat, manakala pelajar yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Gemas untuk rawatan," katanya.
Sumber: BH Online