Pemandu Lori Ditahan Bersama 26 Plastik Ganja Di Bukit Mertajam


BUKIT MERTAJAM - Seorang pemandu lori ditahan di hadapan rumahnya selepas sepasukan polis membuat pemeriksaan dan mendapati dia memiliki beberapa jenis dadah yang disorokkan dalam beg silangnya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, lelaki berusia 49 tahun itu ditahan di sebuah rumah di No Pintas Sembilang 7, Seberang Jaya kira-kira jam 10.30 malam kelmarin.

Menurutnya, ketika pasukan polis tiba di hadapan rumah lelaki tersebut, dia dalam keadaan mencurigakan dan pemeriksaan dibuat ke atasnya.

"Setelah memperkenalkan diri, polis memeriksa beg silang suspek dan menjumpai 26 plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja seberat 366.5 gram dan tiga papan foil aluminium disyaki dadah jenis eramin 5.

"Pemeriksaan di dalam rumah pula menjumpai 13 papan foil aluminium berwarna merah, juga mengandungi dadah jenis eramin 5 yang disorokkan dalam almari televisyen. Berat anggaran keseluruhan eramin 5 yang dirampas 43.2 gram," katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, semakan mendapati, lelaki tersebut mempunyai tiga rekod lampau melibatkan dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas berjumlah RM3,150.

Sumber: Sinar Online