Pemimpin Ini Tak Berganjak, Pantau Usaha Menyelamat Di Lokasi


Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri di Pulau Langkawi menghargai tindakan cepat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang berjaya menyelamatkan kira-kira 50 orang terperangkap dalam kereta kabel Langkawi semalam.

Seramai 800 pengunjung  lain terkandas di stesen pertama Gunung Mat Chinchang, selepas sistem Kereta Kabel Langkawi di Jalan Telaga Tujuh mengalami gangguan.

Seramai 16 anggota termasuk seorang penyelia dari Balai Bomba dan Penyelamat Persiaran Putra dan Langkawi membantu pihak syarikat kereta kabel membawa alat ganti peralatan yang rosak ke stesen pertama dengan mendaki gunung itu.


Ahli Parlimen Langkawi Datuk Ir. Nawawi Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah Nor Saidi  Nanyan dan ADUN Ayer Hangat Datuk Rawi Abdul Hamid berada di lokasi semasa usaha menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

Malah Nor Saidi turut naik ke atas bukit sementara Nawawi memantau operasi menyelamat di bilik kawalan kereta kabel berkenaan. 

Menurut Nawawi, penumpang kereta kabel terakhir diselamatkan pada jam 12.01pagi.
"Dalam masa lebih satu jam 10 minit, operasi membawa turun semua penumpang selesai dijalankan. Syukur semua selamat, teruma kasih kepada semua pihak yang membantu, " kata Nawawi yang bekas jurutera Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam catatan Facebooknya.
.
Turut membuat memantau operasi menyelamat  ialah Ketua Pegawai Eksekutif  Lembaga Kemajuan Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin.

"Kami akan menjalankan pemeriksaan (untuk mengetahui punca kegagalan sistem)," katanya kepada pemberita selepas melawat pelancong terkandas awal pagi ini.

Kata beliau, pasukan teknikal Panorama Langkawi mula menggerakkan sistem secara manual kira-kira 9.00 malam untuk membolehkan 88 pelancong yang terkandas dalam 16 gondola diturunkan ke stesen pangkalan.

Kejadian itu turut menguji keberkesanan pasukan pengurusan krisis di pulau itu, yang antara lain melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa badan bukan kerajaan, kata Azizan lagi.


Terdahulu  Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar menyatakan pihaknya me­nerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 6.53 petang dan tiba di lokasi kejadian 13 minit kemudian.

 Katar Mohamad Mustakim, kerja membaikpulih kerosakan tersebut dianggarkan mengambil masa antara dua hingga tiga jam.

“Anggota bomba terpaksa mendaki gunung berkenaan yang dijangka mengambil masa dua hingga tiga jam ke stesen ber­kenaan,” tambahnya.

Panorama Langkawi Sdn Bhd, pengendali sistem kereta kabel Langkawi SkyCab di sini, akan menjalankan siasatan terperinci bagi mencari punca kegagalan sistem hingga lebih 1,000 pelancong terkandas, semalam.

Difahamkan sebanyak 1,048 pelancong dan 78 kakitangan syarikat kereta kabel terkandas kira-kira tujuh jam sebelum berjaya diselamatkan secara berperingkat antara 9 malam hingga 12 tengah malam tadi.

Pelancong yang dibawa turun diberikan makanan dan minuman serta tuala sejuk kepada pelancong yang berjaya tiba bertujuan memberi kesegaran kepada mereka bagi pengolahan haba kerana berada di dalam gondola untuk masa yang lama.

PDRM menerusi Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Che Ghazali Che Awang turut menyediakan dua bas polis bagi membantu membawa mangsa pulang ke penginapan masing-masing. - Kedahnews.com