Pemuda PAS Sokong Cadangan Kerajaan Buat Akta Sekat Penyebaran Berita Palsu


PAS bersikap lebih matang berbanding DAP dan Parti Pribumi Bersatu Malayisia (PPBM apabila menyokong  cadangan kerajaan untuk menyekat penularan berita palsu dan fitnah.

Parti itu yakin akta yang dicadangkan kelak  mampu menghalang penyebaran fitnah dan tohmah daripada berleluasa.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP), Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kepemimpinan parti tersebut bersedia untuk memberi pandangan berhubung perkara tersebut sekiranya diberi ruang untuk berbuat demikian.

“Kami mengalu-alukan cadangan itu kerana dalam dunia tanpa sempadan hari ini, terlalu banyak berita palsu dilemparkan.

Untuk itu, PAS bersedia memberi pandangan berhubung penggubalan aktar berkenaan jika diberi ruang.

“Sebolehnya mungkin kami mahu tengok dulu cadangan tersebut. Kami tak mahu akta itu nanti cuma dikenakan terhadap pihak tertentu saja seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dulunya dilaksanakan atas asas tidak sama rata,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada majlis minum petang bersama rakyat di Taman Budiman Alor Setar baru-baru ini.

DAP dan parti sekutunya termasuk PPBM menentang keras cadangan bagi mengekang penyebaran berita palsu itu yang jika dibiarkan boleh menggugat ketenteraman awam dan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said baru-baru ini menyatakan langkah kerajaan menggubal undang-undang menangani berita palsu adalah selaras dengan perkembangan semasa dan tidak dilihat untuk menyekat kebebasan bersuara.

Menurutnya penggubalan akta baharu itu berlainan dengan ISA ketika zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang membuat penahanan tanpa melalui proses perbicaraan. - Kedahnews.com