Penangan AJL32, Ramai Mahu Ernie Ajar Vokal


Paduan suara Ernie Zakri dan Syamel melalui lagu Aku Cinta di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32 yang lalu ternyata memukau penonton.

Sehingga ke hari ini, video persembahan mereka berdua masih ditonton ramai walaupun sudah lebih seminggu berlalu.

Bagi Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, yang juga merupakan jurulatih vokal selain bergelar penyanyi, segala pujian dan komen positif yang diterima dijadikan sebagai pemangkin semangat untuknya membuktikan keupayaan dalam industri seni suara negara.

Ekoran paduan vokal sempurna ketika AJL tempoh hari, ramai berharap gandingan Ernie dan Syamel dikekalkan untuk single terbaharu.

Menurut sumber dipetik daripada portal BH Online, Ernie berkata tumpuannya kini terarah kepada projek solo yang bakal dilancarkan bulan hadapan atau selewat-lewatnya, pada April.

“Saya tahu ada yang tertunggu-tunggu paduan suara kami seterusnya. Namun, ia masih dalam perancangan. Kalau diikutkan, Syamel ada lagu solo yang mahu dipromosikannya.

“Saya pula sudah masuk studio untuk rakaman single baharu. Jadi kami perlu tunggu segala perincian untuk projek solo disempurnakan sebelum memikirkan dendangan duet.


“Soal lagu itu berkonsep pop atau balada, belum ditentukan. Siapa tahu, mungkin ia projek lagu raya? Bagaimanapun, terima kasih kepada yang sentiasa memberi sokongan,” katanya.

Bagi yang terlepas, Ernie dan Syamel membawa pulang trofi Vokal Terbaik pada malam AJL32 itu yang menyaksikan mereka meraih wang tunai berjumlah RM12,000.

Mengulas mengenai maklum balas yang diterima selepas persembahan memukau di AJL itu, Ernie mengesahkan bahawa ramai orang menghubunginya bagi mendapatkan khidmat Ernie sebagai jurulatih vokal peribadi.

Walaubagaimanpun, Ernie menjelaskan bahawa dia terpaksa menolak permintaan berkenaan memandangkan jadual kerjanya yang padat selain ingin menumpukan kepada pelajar yang sedia ada.

“Syukur ramai percaya bakat saya sama ada sebagai penyanyi mahu pun guru vokal. Semua ini tidak akan dapat direalisasikan tanpa Syamel dan semua yang mendoakan kami.

“Saya juga mendapat ramai peminat baharu. Ada antara mereka baru menyedari saya adalah guru vokal dan bertanya sama ada saya boleh membimbing mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ernie menyedari terdapat peminat dari negara jiran seperti Singapura dan Brunei yang baru sahaja mengenali Ernie selepas persembahannya di pentas AJL32.

Namun jelas Ernie, dia tidak berasa ralat dengan perkara itu kerana baginya, perkara utama bagi dia dan Syamel pada malam itu adalah untuk memberikan persembahan terbaik.

“Memang sejak dulu saya nantikan pendedahan begini. Pentas AJL32 memberi ruang positif buat permulaan tahun ini,” katanya.

Sehingga kini, persembahan duet Syamel dan Ernie ketika malam kemuncak AJL32 itu sudah ditonton lebih tiga juta kali di laman YouTube. - Kedahnews.com