ALOR SETAR - Lebih 300 nelayan pukat ketam, udang, bubu dan pompang mengeluh kerana pendapatan mereka makin terjejas ekoran kegiatan pukat sorong yang didakwa berleluasa sekitar kawasan perairan Kuala Muda, Tanjung Dawai, Yan dan Sungai Merbok.
Dipercayai, nelayan pukat sorong itu aktif beroperasi sejak tahun lalu dan kegiatan mereka dikesan bermula jam 12 malam hingga 6 pagi.
Kegiatan itu mengakibatkan banyak pukat nelayan udang dan ketam yang dipasang di sekitar perairan berkenaan rosak serta hilang akibat dirempuh bot pukat sorong berkenaan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Basmi Pukat Surung Kuala Malaysia dan Sungai Merbok, Muhd Yusuf Abu Bakar berkata, kegiatan pukat sorong bukan saja jejaskan mata pencarian nelayan pukat udang dan ketam malah merosakkan ekosistem dan sumber perikanan.
“Sehingga kini 10 nelayan mengalami kerugian hampir RM10,000 kerana pukat mereka rosak dan hilang.
“Selain pukat, bubu dan pompang yang dipasang nelayan turut rosak dan hilang akibat disorong serta dipotong nelayan pukat sorong, sehingga kini ada nelayan terbabit tidak lagi dapat turun ke laut,” katanya memetik MyMetro.
Tambah Muhd Yusuf, terdapat 50 bot pukat sorong dari Batu Lintang, Kuala Sungai Baru, Segantang Garam, Tanjung Dawai dan Yan beroperasi sekitar perairan Yan, Tanjung Dawai, Kuala Muda, Yan, Pulau Sayang serta Sungai Merbok. - Kedahnews.com