Pendengaran Kes Jual Perlawanan 26, 27 Februari


KUALA LUMPUR: Sesi pendengaran bagi kes dua pemain badminton profesional negara yang disyaki terbabit dengan skandal mengatur perlawanan akan diadakan di Singapura, pada 26 dan 27 Februari ini.

Menurut sumber, setiap pemain terbabit akan berdepan panel yang dilantik Persekutuan Badminton Dunia (BWF) secara berasingan.

Mengikut peraturan ditetapkan badan induk sukan berkenaan, mana-mana pemain didapati bersalah terbabit dengan skandal mengatur perlawanan boleh dikenakan penggantungan seumur hidup.

Selasa lalu, Meja Sukan NSTP dalam laporan eksklusif melaporkan dunia badminton negara digemparkan dengan dakwaan seorang pemain profesional sedang disiasat BWF kerana disyaki terbabit skandal mengatur perlawanan.

Sehari selepas itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan mengenai perkara itu tetapi memaklumkan bukan seorang tetapi dua pemain profesional yang digantung sementara BWF bermula bulan lalu daripada menyertai sebarang kejohanan sehingga siasatan selesai.

Kes ini adalah yang pertama membabitkan pemain Malaysia yang didakwa terbabit dengan skandal mengatur perlawanan dalam siasatan BWF.

Difahamkan, BWF sudah memantau kedua-dua pemain terbabit sejak Februari lalu sebelum memaklumkan kepada BAM, Disember lalu mengenai proses yang perlu dilalui mereka.

Sumber: BH Online