GUAR CHEMPEDAK - Penduduk Taman Delima di sini, resah apabila perlu berdepan masalah pencemaran sekam padi yang dipercayai berpunca daripada kilang beras bersebelahan taman berkenaan.
Selain Taman Delima, terdapat enam taman perumahan lain yang turut terjejas dengan pencemaran tersebut.
Penduduk, Siti Salmah Abdullah, 57, berkata, masalah berkenaan berlaku sejak lapan tahun lalu dan bertambah serius sehingga kini.
"Sudah lama kami bersabar dan menahan kesan yang menimpa ke atas diri kami hanya kerana berpunca daripada kilang beras berkenaan," ujarnya.
Katanya, badan penduduk mengalami kegatalan dan kawasan rumah juga dipenuhi debu sekam padi.
Selain itu, Siti Salmah berkata, perkakas rumah seperti perabot perlu dibersihkan setiap hari, jika tidak habuk akan melekat.
"Dapur juga perlu dibersihkan, kadang-kadang tak sampai sehari saya bersihkan, habuk dah mula melekat balik," katanya.
Mengakui masalah sama, Sazali Ibrahim, 58, berkata, ahli keluarganya pernah mendapatkan rawatan di hospital ekoran mengalami sesak nafas dan gatal-gatal.
"Sampai bila kami nak sabar sebab benda dah bertahun, kalau sehari dua tak pa juga. Kami dah buat laporan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), depa ada la mai pantau tapi masalah tetap berlaku," ujarnya.
Katanya, hampir 40 rumah di Taman Delima berpenghuni dan kesemua mereka menghadapi masalah yang sama.
"Kami sangat berharap pihak berkuasa memandang serius masalah yang kami hadapi dan melakukan sesuatu agar ia tidak berterusan," katanya.
Sumber:Sinar Online