KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) menggesa pengedarnya untuk menaik taraf outlet mereka dalam tempoh 2018 hingga 2020.
Ia berkata, sasaran untuk 2018 adalah untuk meningkatkan bilangan outlet 3S (jualan, servis dan alat ganti) di seluruh negara bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dengan pengenalan beberapa model baru tahun ini.
“Ketika ini pengedaran 3S/4S di seluruh negara hanyalah 30 peratus dan 70 peratus adalah kemudahan 1S (jualan) di mana pengedar hanya menjual kenderaan tanpa menawarkan sebarang perkhidmatan selepas jualan.
“Kami tahu wang yang banyak perlu dibelanjakan oleh pengedar dalam eksesais ini. Oleh itu kami memperkenal skim khas bagi membanti pengedar dalam usaha menaik taraf kepada premis baharu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pengeluar kereta nasional itu berkata, selain itu pengedar terlibat akan menikmati margin lebih tinggi ke atas kereta yang dijual sehingga tiga tahun.
POBSB berkata, pada masa lalu, pengedar Proton menikmati margin empat peratus berdasarkan volum bulanan sebanyak 40 unit yang dipersetujui dengan syarikat itu untuk melayakkan mereka mendapat insentif jualan.
Ia telah menyemak semula skim itu dengan menurunkan kadar itu untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan keseluruhan pengedar.
Skim itu selaras dengan cabaran semasa yang dihadapi oleh pengedar dan syarikat akan terus mengawasi keadaan tersebut untuk memastikan pertumbuhan perniagaan dapat dicapai.
Di samping itu, skim insentif suku tahunan juga disediakan sepanjang tahun, di mana pengedar memperoleh pendapatan tambahan dengan melepasi sasaran jualan mereka, serta sokongan insentif negeri untuk aktiviti pengedar.
Mengulas dakwaan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) yang pengedar Bumiputera menerima tekanan, PONSB berkata, ia mengakui cabaran sukar yang dihadapi mereka sejak bertahun-tahun sebelum ini.
Pengeluar kereta nasional itu berkata, sejak tahun 2000, kemerosotan penguasaan pasaran dan jumlah jualan telah mempengaruhi keupayaan syarikat untuk membiayai aktiviti penyelidikan dan pembangunannya, yang menyebabkan syarikat ketinggalan berbanding pesaingnya dari segi teknologi dan daya saing produk.
Ia juga secara tidak langsung menjejaskan pelaburan dalam membangunkan rangkaian, kakitangan dan keupayaan pengeluaran syarikat, tambahnya.
Dalam usaha untuk menangani penurunan ini, pengeluar kereta nasional itu telah mencuba pelbagai pendekatan, termasuk perkongsian platform dengan jenama lain untuk membangunkan enjin dan transmisi sendiri bagi mengurangkan pergantungan kepada komponen yang diimport.
“Walaupun tindakan ini membawa hasil yang positif, ia masih tidak berjaya menangani kemerosotan jualan dan penguasaan pasaran di Malaysia serta seberang laut.
“Oleh itu, keperluan untuk rakan kongsi strategik asing menjadi lebih jelas jika Proton ingin memulihkan kedudukan sebagai peneraju pasaran automotif Malaysia.
“Ini juga akan membantu aspirasi kami untuk mengembangkan jenama itu di dalam dan di luar negara, yang merupakan penggerak utama bagi rancangan perniagaan syarikat pada masa depan,” kata PONSB. – Bernama