Pengkaji Sweden Temui Satu Bahasa Baru Di Kelantan


STOCKHOLM – Pengkaji bahasa asing sebuah universiti di Sweden berjaya menemui satu lagi bahasa baharu yang dikenali sebagai Jedek dan hanya digunakan 280 penduduk di Kelantan.

Menurut media antarabangsa, penemuan amat bersejarah itu dilaporkan ketika melakukan penyelidikan mengenai bahasa lain di kawasan Sungai Rual berhampiran Jeli kira-kira 363 kilometer dari ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur.

Kajian dibuat penyelidik Lund University ketika mengkaji bahasa Jahai di kawasan terbabit dan ia ditemui pelajar ijazah kedoktoran di universiti berkenaan, Joanne Yager, menerusi kenyataan media dalam portal universiti itu.

Beliau berkata, dokumentasi bahasa minoriti yang terancam seperti Jedek itu cukup penting kerana ia secara tidak langsung dapat dapat memberi wawasan baharu dalam bidang kognisi pemikiran dan adat budaya manusia.

“Kami menyedari sebahagian besar penduduk kampung tersebut menggunakan bahasa yang berbeza. Mereka menggunakan perkataan, fonem dan struktur tatabahasa yang tidak digunakan dalam bahasa suku kaum Jahai.

“Beberapa perkataan (bahasa Jedek) mempunyai kaitan dengan bahasa etnik Orang Asli lain yang digunakan jauh dari kawasan pedalaman di Semenanjung Malaysia,” jelas Yager dalam kenyataan tersebut.

Jedek digambarkan sebagai bahasa daripada keluarga bahasa Austroasiatik namun ia ketika ini hanya dituturkan oleh 280 penduduk dengan mengamalkan cara hidup berkelompok dan berburu di wilayah utara Semenanjung.


Prof Madya Linguistik Umum di Lund University, Niclas Burenhult, yang mengumpul bahan linguistik pertama dari jurucakap Jedek, jua memiliki soalan berbeza dan mendapati ada perkara terlepas pandang oleh ahli antropologi.

“Jedek bukan bahasa dituturkan puak tidak dikenali tinggal di hutan tebal seperti yang mungkin dibayangkan banyak pihak, tetapi ia sebuah kampung yang sudah dipelajari oleh ahli antropologi sebelum ini,” katanya.

Kumpulan penyelidik yang buat penemuan itu melakukan projek dokumentasi bahasa dikenali Tongues of the Semang dengan melawat beberapa kampung untuk kumpul data mengenai bahasa digunakan komuniti Orang Asli.

Kenyataan tersebut menambah bahawa masyarakat yang menggunakan bahasa Jedek menggalakkan anak mereka untuk tidak bersaing kerana penduduk berkenaan tidak mempunyai sistem undang-undang atau mahkamah.

Dianggarkan 6,000 bahasa kini dituturkan di seluruh dunia. Kira-kira 80 peratus penduduk dunia menggunakan satu bahasa dunia utama, manakala selebihnya hanya bertutur satu daripada 3,600 bahasa yang lebih kecil.

Penyelidik percaya kira-kira separuh daripada bahasa dunia akan pupus 100 tahun dari sekarang akibat proses pemodenan dan penyerapan budaya luar. - Kedahnews.com