Penjaga Gol B-23 Negara Gagal Doping


KUALA LUMPUR - Arena bola sepak tanah air dipalit dengan kontroversi baru apabila penjaga gol muda negara, Ahmad Syihan Hazmi gagal dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan Bawah 23 (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China bulan lalu.

Perkara itu disahkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Ujian sampel B bagi kes doping Ahmad Syihan dibuat semalam selepas ujian sampel A yang dilakukan ketika kejohanan di Changshu, disahkan positif metabolite methandienone.

Syihan, 22, dipilih untuk menjalani ujian doping selepas perlawanan pertama Kumpulan C bertemu Iraq di Stadium Changshu pada 10 Januari yang menyaksikan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee tewas 1-4.

Dia bagaimanapun tidak beraksi dalam sebarang perlawanan di kejohanan itu dengan Kim Swee menurunkan Ifwat Akmal Chek Kassim pada perlawanan bertemu Iraq itu.

Seorang lagi penjaga gol negara, Haziq Nadzli diturunkan pada tiga perlawanan berikutnya sehingga Malaysia tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada suku akhir.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata pihaknya menerima surat daripada AFC pada 6 Februari lalu, memaklumkan Ahmad Syihan didapati positif metabolite methandienone iaitu sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari 2018.

"Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC memutuskan Ahmad Syihan dikatakan bersalah melanggar Artikel 6 Peraturan Anti-Doping AFC dan dikenakan penggantungan sementara selama 60 hari daripada mengambil bahagian dalam segala aktiviti bola sepak termasuk perlawanan domestik, persahabatan dan rasmi berkuatkuasa serta merta," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan ini pasti turut memberi kesan kepada pasukannya, Negeri Sembilan apabila dia dilarang beraksi bermula perlawanan kedua Liga Super bertemu Kuala Lumpur di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 7 Februari lalu biarpun turun beraksi pada perlawanan pertama bertemu PKNP FC empat hari sebelum itu.

Ahmad Syihan sudah memohon untuk sampel B diuji dan ia dibuat semalam. Dia kini hanya menunggu keputusan sama ada kekal positif atau negatif.

AFC akan mengambil tindakan lanjut selepas menerima keputusan rasmi ujian sampel B berkenaan dan buat masa ini, Ahmad Syihan tidak dibenarkan beraksi bersama Negeri Sembilan sepanjang tempoh penggantungan sementara 60 hari itu.

Sumber: BH Online