Penjara Pemandu Cuai Sebabkan Kematian Orang Lain


KERAJAAN perlu memperkenalkan hukuman penjara mandatori kepada pemandu cuai yang menyebabkan kematian penumpang tidak bersalah atau pengguna jalan raya lain.

Ini bagi menimbulkan rasa takut dalam kalangan pemandu bahawa mereka boleh dipenjarakan sekiranya didapati bersalah memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian orang lain.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pihaknya percaya negara ini memerlukan tindakan radikal seperti itu dalam usaha untuk menangani masalah berkenaan.

“Pada masa ini, Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 memperuntukkan hukuman penjara antara dua dan 10 tahun dan denda antara RM5,000 dan RM20,000.

“Kita perlu memperkenalkan hukuman penjara mandatori untuk menimbulkan rasa takut dan tanggungjawab sepenuhnya dalam kalangan pemandu.

“Ini termasuk mereka yang berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain,” katanya semalam.

Katanya lagi, agensi-agensi penguatkuasaan juga harus menjalankan pemeriksaan kerap untuk mengesan pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab, termasuk mereka yang berada di bawah pengaruh dadah dan alkohol.

Beliau yang juga ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), turut mengingatkan pengguna jalan raya untuk lebih berhati-hati terutamanya ketika musim perayaan kerana kemalangan lebih kerap berlaku.

“Mereka perlu tidur dan berehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan kerana keletihan ketika memandu akan meningkatkan risiko kemalangan jalan raya.

“Mereka juga mesti menyemak masa perjalanan yang dicadangkan oleh pihak berkuasa untuk mengelakkan kesesakan dan tekanan ketika memandu,” kata beliau.

Selain itu, pihak berkuasa juga perlu meningkatkan kesedaran di kalangan penunggang motosikal kerana mereka masih menjadi penyumbang utama jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya dengan 64.5 peratus atau 4,348 penunggang dan pembonceng terbunuh akibat kemalangan tahun lalu.

Sumber: Metro