Penumpang Uber Dakwa Kena ‘Pow’ Ratusan Ringgit Gara-Gara Tertinggal Telefon


PETALING JAYA - Gara-gara tertinggal telefon bimbitnya di dalam kereta pemandu perkhidmatan e-hailing Uber, seorang lelaki mendakwa telah mengalami kerugian ratusan ringgit.

Bayaran awal yang dikenakan kepada pelanggan itu bagi jarak perjalanan sejauh 5.55 kilometer adalah sebanyak RM18.23 iaitu seperti yang ditetapkan oleh aplikasi tersebut.

Perbualan antara pengguna Uber, Alvin Teo dan pemandu berkenaan kemudiannya dimuatnaik menerusi laman Facebook pada Sabtu malam.

Menurut paparan skrin perbualan tersebut, Alvin merayu agar telefon pintarnya dipulangkan dan bersetuju untuk memberikan wang imbuhan kepada pemandu Uber itu.

Wang tersebut dipercayai sebagai ganti rugi masa dan kos yang digunakan oleh pemandu berkenaan untuk memulangkan telefon itu kepadanya.

Bagaimanapun, pemandu Uber itu enggan mengembalikan telefon tersebut selepas ditawarkan bayaran sebanyak RM100.


"Saya juga guna iPhone...tak perlu bebel dengan saya. Telefon ini mungkin penting buat awak, tapi tak penting untuk saya.

"Itu bukan salah saya, tapi kesilapan awak sendiri. Berapa banyak yang awak sanggup bayar jika saya pulangkan telefon ini?

"Kalau RM100, lupakan saja sebab ia tidak berbaloi dan saya tidak mahu membazirkan masa disebabkan oleh kesilapan orang lain.

"Lebih baik saya buang barang awak ke dalam tong sampah," balas pemandu itu menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

Selepas mengakui kesilapan sendiri, Alvin bertanya berapa jumlah yang wajar dibayar olehnya dan terpaksa bersetuju apabila pemandu terbabit meminta bayaran sebanyak RM200 untuk menghantarkan telefon itu kepadanya pada malam tersebut.

Namun, Alvin mendakwa pemandu tersebut mungkir janji apabila meminta bayaran sebanyak RM300 daripadanya sebaik sahaja mereka bertemu.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Uber Asia Tenggara, Leigh Wong ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya akan menyiasat isu tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.

"Sikap seperti ini sudah jelas melanggar garis panduan komuniti kami dan tertakluk untuk tindakan penyahaktifan akaun pemandu.

"Pihak kami tidak boleh mengulas lanjut tentang siasatan kerana polisi privasi yang melindungi pihak pelanggan dan pemandu," ujarnya ringkas.

Sumber: Mstar Online