Tun Dr. Mahathir Mohamad dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir diharap tidak lupa bahawa semasa era bekas Perdana Menteri 22 tahun itu juga sentiasa mengumumkan peruntukkan bila hampir dengan pilihan raya.
Malah pada satu ketika Dr. Mahathir tidak begitu senang dengan tindakan kerajaan Kedah untuk menaikkan cukai tanah kerana pilihan raya.
Semalam Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid turut mengingatkan Dr Mahathir yang mempersoalkan pengumuman projek-projek pembangunan di Langkawi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, baru-baru ini.
Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan menegaskan bekas perdana menteri itu turut berbuat perkara sama termasuk setiap kali menjelang pilihan raya umum (PRU) semasa menerajui tampuk pemerintahan negara.
“Kalau Tun Mahathir kata ini janji (pilihan raya) untuk orang Langkawi, saya ingat masa dia jadi perdana menteri dulu pun dia buat macam itu juga,” katanya.
Selepas Najib mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk memperbaiki kemudahaan prasarana termasuk pembesaran hospital dan menaiktaraf bekalan air, Mukhriz tanpa berfikir panjang menyifatkan pemberian itu sebagai 'dedak' untuk pilihan raya.
Peruntukan itu telah dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan Bajet 2018.
Selang beberapa hari kemudian, Dr. Mahathir yang kini Pengerusi Pakatan Harapan dan Pengerusi PPBM pula menyifatkan projek untuk penduduk Langkawi itu sebagai 'janji kosong' menjelang PRU14.
Sementara itu Mahdzir berkata apabila ada bajet sudah tentu Najib selaku Perdana Menteri akan umumkan projek untuk manfaat rakyat.
“Sebenarnya kerajaan dari dulu sampai sekarang ini (apabila) hendak membuat (laksana) sesuatu (projek) tidak menunggu pilihan raya. Bila sahaja ada peruntukan (terus) kerajaan akan buat dan tidak timbul soal dekat dengan (pilihan raya umum), (baru) nak umum,” katanya.
Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan dalam rangka lawatan kerja sehari berkata tahap pembangunan yang dicapai di Langkawi masa kini tidak mungkin akan dapat dikecapi sekiranya setiap projek pembangunan kerajaan dilaksanakan hanya apabila dekat pilihan raya.
Pada majlis Pejabat Pendidikan Daerah itu, Mahdhir turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan RM2.5 juta untuk sekolah-sekolah seliaan kementerian di daerah ini.-Kedahnews.com