Pesara Polis Kedah Digalak Guna Aplikasi VSP Cegah Jenayah


ALOR SETAR – Sebagai membantu membasmi kadar jenayah yang berlaku dalam negara, pesara polis disarankan agar tidak ketinggalan untuk menggunakan sepenuhnya aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Ini bagi membantu mencegah jenayah yang kemungkinan terjadi di kawasan persekitaran mereka.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, inisiatif itu adalah langkah bagi golongan pesara polis agar terus menyumbang kepada masyarakat walaupun tidak lagi berada dalam perkhidmatan.

“Ini juga cara terbaik dalam membantu pihak polis mendapatkan maklumat awal terutama di kawasan yang besar. Seperti yang kita tahu, pesara polis ini mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam pemantauan jenayah.

“Jadi, saya amat galakkan mereka ini gunakan sepenuhnya VSP untuk bantu masyarakat dan juga pegawai di kawasan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi dialog Program High Profil Policing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ahmad Nasir Jaafar, ketua-ketua jabatan dan lebih 100 peserta termasuk pesara polis, penghulu, anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, badan bukan kerajaan dan masyarakat setempat.

Zainal Abidin berkata, aplikasi itu telah lama dilancarkan iaitu pada Mac 2017.

Nescaya aplikasi itu amat mudah, pantas dan efisien dan mesra dengan pesara polis, mereka boleh menyalurkan maklumat berbentuk gambar, video dan suara dari lokasi kejadian jenayah atau bencana dan ia terus sampai kepada pihak polis.​​​​​ - Kedahnews.com