Peserta The Voice Thailand Selamba Nyanyi Lagu 'Dikir Puteri'


BIARPUN tidak sempurna lenggok, sebutan dan lirik Melayu, peserta The Voice Thailand mencuri perhatian netizen menerusi persembahannya menyanyikan lagu Dikir Puteri.

Uniknya, persembahan lagu asal nyanyian ratu pop etnik Malaysia, Noraniza Idris itu mendapat sentuhan moden apabila diselitkan dengan lirik rap berbahasa Thailand pada akhir lagu itu.

"Walau sebutan salah tapi percubaan untuk menyanyikan lagu berbahasa Melayu itu ada. Bangga!" tulis pengguna Twitter @LeAlterEgo.

Menerusi video yang dikongsikannya itu, peserta duo rancangan realiti nyanyian itu turut menyelitkan elemen dikir barat dalam persembahan mereka.

Pujian diberikan netizen kepada kedua-dua penyanyi itu dalam usaha untuk menyanyikan lagu irama Malaysia bersungguh-sungguh.

"Faktanya lagu irama asli susah nak nyanyi sebab itu banyak artis sekarang menyanyi pop. Mungkin Noraniza Idris juga harus remake lagu ini letak lirik rap," tulis @aleyayaya.

"Comelnya sebut 'walau ya-uh walau dekat'," tambah @szlan_mustafa.

"Lagu Dikir Puteri memang popular di Thailand. Malah, hampir semua kelab malam di sana pasang lagu ini versi original dan remix," tulis salah seorang pengguna lain.

Sehingga kini video yang dikongsikan di Twitter itu ditonton 80,000 kali dan diulang kicau (retweet) sebanyak 8,000 kali.

Manakala, di YouTube, video tersebut sudah ditonton lebih 1.3 juta kali. Wow!

          

 Sumber: Astro Awani