PENYANYI remuda berbakat besar, Aiman Tino telah berjaya membida nombor plat kereta yang dikeluarkan oleh Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M) bernilai sekitar RM40,000.
Menurut Aiman, beliau tertarik untuk memiliki plat berkenaan kerana jika dibaca sekali imbas plat yang bernombor A1M 477 itu seperti menyebut namanya sendiri.
Ekoran itu, Aiman mengakui dia tertarik berhabis duit semata-mata untuk memiliki plat berkenaan dengan cuba membidanya sekitar tahun lepas.
“Alhamdulillah, saya anggap pembelian plat kereta ini sebagai hadiah untuk diri sendiri selepas penat bekerja. Walaupun harganya agak mahal, namun saya merasakan ia berbaloi untuk simpanan peribadi.
“Saya akan guna plat ini untuk kereta saya sendiri namun setakat ini, saya masih belum memutuskan untuk beli kereta apa. Jika diikutkan kereta idaman, saya amat gemari jenama Volkswagen,” katanya dipetik sebuah portal online.
Berita gembira itu turut dikongsi oleh Aiman di laman Instagram miliknya yang mana dilihat mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengikutnya.
Apapun, tahniah diucapkan buat Aiman dan kami di Mynewshub mendoakan semoga terus sukses di masa depan kelak! – Kedahnews.com