PM Ikrar Langkawi Terus Maju Jadi Destinasi Popular


LANGKAWI – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan ada lebih banyak penerbangan terus dari serata dunia ke pulau legenda Mahsuri ini pada masa akan datang.

Malah beliau memberi jaminan, meskipun dirinya bukan dilahirkan di Kedah, Langkawi akan terus dimajukan seiring dengan potensi besar daerah tersebut untuk menjadi destinasi pusat pelancongan terulung antarabangsa.

Najib seterusnya berkata, perkara itu bukan sesuatu yang mustahil kerana Langkawi terbukti mempunyai keupayaan cukup besar untuk dapat lagi dimajukan sebagai pilihan utama lokasi pelancongan tersohor di peringkat global.

“Saya sedang mengusahakan perkara itu. Tidak lama dulu saya telah melancarkan beberapa penerbangan dilakukan AirAsia dari China terus ke Langkawi dan kini saya berusaha untuk dapat lebih banyak lagi (penerbangan terus).

“Apa yang kita usahakan ini seiring dengan Blueprint Pelancongan Langkawi 2.0 yang dilancarkan dan dalam peringkat pelaksanaan. Kita mahu tarik lebih ramai pelancong berkemampuan tinggi dari serata dunia ke sini.

“Itu sudah tentu mendatangkan faedah besar kepada penduduk tempatan,” kata Najib ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Cina Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Mahsuri, di sini malam kelmarin.

Turut hadir sama ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Hangat, Datuk Mohd Rawi Abd. Hamid.

Beliau juga memberi jaminan kepada 22 badan bukan kerajaan mewakili komuniti Cina di Langkawi pada majlis makan malam sempena Tahun Baru Cina, bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) komited memajukan pulau itu.

Pada majlis sama, Najib turut mengumumkan persetujuan untuk melantik calon individu dari kaum Cina sebagai Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yang namanya akan ditentukan kemudian.

Sementara itu katanya, beliau akan mengumumkan jumlah peruntukan yang besar dalam salah satu majlis dihadirinya di sini pada Sabtu bagi menyelesaikan masalah bekalan air Langkawi bagi tempoh jangka masa panjang.

“Di sebalik kita menumpukan kepada pembangunan, projek asas untuk rakyat mesti terus dilaksanakan. Biarpun saya bukan berasal dari Kedah, saya tetap beri pertimbangan yang adil dan sebaiknya kepada Langkawi,” ujarnya.

Beliau juga berikrar akan terus membawa banyak pembangunan termasuk meningkatkan prasarana awam untuk rakyat dan pelancong bagi merealisasikan potensi besar Langkawi sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.

Najib berkata, Langkawi mempunyai potensi untuk dibawa ke tahap pembangunan yang lebih tinggi dan tidak dinafikan sejak ia diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai, banyak yang sudah berubah.

“Saya ingin lihat Langkawi terus maju sebagai destinasi pelancongan utama di rantau Asia tenggara ini malah saya meluluskan peruntukan besar bagi tujuan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi,” jelas Najib.

Beliau juga akan membawa hotel bertaraf antarabangsa ke pulau ini kerana apabila ada pusat penginapan seperti itu, ia secara tidak langsung menarik ramai pelancong yang ada kemampuan tinggi untuk beli belah dan bercuti.

“Ia sudah tentu memberi faedah kepada pengusaha di Langkawi sebagai penjual barangan, perkhidmatan, restoran termasuk pengusaha hotel dengan kehadiran pelancong ini,” katanya.

Beliau menegaskan turut tidak melupakan projek asas untuk rakyat yang mesti diteruskan, termasuk peruntukan besar menyelesaikan bekalan air dan perumahan.

“Saya juga melancarkan dua projek rumah mampu milik untuk rakyat di pulau ini. Saya yakin menerusi apa yang diusahakan itu, Langkawi akan terus mempunyai masa depan cerah.

“Hanya kerajaan BN mampu membangunkan Langkawi dan soal masa depan pulau ini tidak boleh terjamin sekiranya penduduk tidak terus memilih Ahli Parlimen BN mewakili rakyat di Langkawi,” katanya.

Perdana Menteri berkata, rakyat hanya ada dua plihan sama ada memilih parti terkuat (BN) yang ada kuasa dalam pembangunan, atau memilih individu yang bersandarkan kepada sejarah dan sentimen dahulu semata-mata.

“Kalau kita pilih seorang yang pernah pegang jawatan Perdana Menteri sekalipun tetapi kalau partinya tidak tentu kedudukan, sama ada boleh menang beberapa kerusi atau tidak, sukar menentukan hala tuju dan dasar negara.

“Sebaliknya, jika memilih Ahli Parlimen BN Langkawi , pulau ini akan dapat terus dibangunkan,” katanya. – Agensi