Polis Bukan Spesis ‘Pakcik Bawang'


BAGAN DATUK - Orang ramai tidak perlu takut menyalurkan maklumat kepada polis dalam membantu menangani masalah jenayah di kawasan mereka.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, polis juga tidak pernah mendedahkan identiti pemberi maklumat.

“Sekiranya sebarang maklumat disampaikan kepada pihak polis, nescaya ia tidak akan dibocorkan kepada sesiapa dan polis tidak akan nyatakan siapa pemberi maklumat tersebut.

“Bagaimanapun jika masyarakat khuatir penjenayah mengetahui mereka memberi maklumat dengan berjumpa polis mereka boleh menggunakan Volunteer Smart Phone (VSP) sebagai medium saluran maklumat kepada Polis,” katanya.

Mohd Marzukhi berkata demikian ketika menjawab soalan pada Majlis Perjumpaan dan Dialog Ketua Kampung/Wakil Masyarakat Parlimen Bagan Datuk bersama Ketua Penolong Pengarah Sting Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak.

Tambahnya, apa yang penting masyarakat perlu membantu pihak polis dari segi kesedaran dalam menangani masalah jenayah serta masalah dadah di kawasan mereka.

Terdahulu, Mohd Marzukhi sempat mengadakan kembara berbasikal bersama anggota Polis Hilir Perak di Sungai Tiang, Selekoh, Rungkup bagi mendekati masyarakat dan penduduk di kawasan berkenaan.

Sumber: Sinar