JOHOR BAHRU - Polis Johor telah memulakan siasatan berhubung penularan berita kematian seorang bayi yang baru dilahirkan dan disyaki ada kaitan dengan amalan khidmat doula (pembantu ketika melahirkan) di sebuah rumah di Johor Bahru, baru-baru ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengesahkan pihaknya ada menerima laporan polis dibuat berhubung kejadian itu serta laporan yang dibuat seorang wanita yang dipercayai doula terbabit.
"Memang ada keluar banyak kenyataan di Facebook berhubung kejadian ini dan wanita yang dikatakan doula itu juga ada membuat laporan polis menafikan tuduhan bahawa dia terbabit dengan kejadian yang menyebabkan kematian bayi itu.
"Kita sudah merujuk dengan keluarga yang melahirkan bayi itu, namun menurut kenyataan awal mereka tiada menyebut tentang hal doula ini,” katanya Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Johor Bahru, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya telah memulakan siasatan terperinci berdasarkan apa yang dinyatakan dalam FB dan kita akan mendapatkan semula maklumat.
Maklumnya, pihaknya masih tidak dapat bertemu dengan ibu yang melahirkan bayi berkenaan malam tadi, kerana wanita itu sedang berehat di kampung dan mahu memberi ruang kepadanya sebelum mengambil keterangannya semula.
"Kita tidak mahu memberi tekanan kepada ibu bayi berkenaan dan kita tidak tahu lagi apa cerita sebenar yang berlaku.
"Kita juga akan merakamkan percakapan daripada wanita yang dikatakan doula itu, jadi buat masa sekarang saya belum boleh mengesahkan sama ada kenyataan di FB itu adalah benar atau tidak," katanya.
Mohd Khalil juga berkata, pihaknya belum dapat mengklasifikasikan kes berkenaan kerana siasatan awal belum dapat menimbulkan apakah bentuk kesalahan yang berlaku.
"Kita akan lihat nanti, sekiranya ada berlaku unsur fitnah dalam kes ini, maka kita akan rujuk ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
"Manakala, sekiranya benar proses kelahiran itu ada membabitkan apa-apa kesalahan, kita rujuk kepada Kementerian Kesihatan dan kita akan lihat seksyen yang sesuai untuk mengambil tindakan," katanya.
Baru-baru ini, tular di FB berhubung kematian seorang bayi yang dilahirkan dengan cara 'homebirth' akibat komplikasi ketika kelahiran di bawah pengawasan doula.
Sumber: Sinar Online