Polis Tahan 4 Beradik Kes Samun Kedai Emas Di Alor Setar


ALOR SETAR – Polis menahan empat beradik yang dipercayai terlibat dalam kes samun kedai emas di Jalan Kota di sini pada Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mior Farid Al Atrash Wahid berkata polis menahan tiga lelaki dan seorang wanita yang berumur antara 19 hingga 32 tahun itu di dua buah rumah di Sungai Petani dan Kulim awal pagi Selasa.

“Polis berjaya merampas sebahagian daripada barang kemas yang disamun serta sepucuk pistol tiruan yang digunakan dan sedang mengesan sebahagian lagi barang kemas yang disamun dan dipercayai telah dijual kepada individu lain,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata kesemua suspek ditahan reman selama lima hari hingga Ahad ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan bersenjata.

Mior Farid berkata dalam kejadian pada 12.15 tengah hari itu, dua suspek yang memakai topi keledar dan penutup mulut telah masuk ke dalam kedai berkenaan sebelum seorang daripada mereka meletakkan sepucuk pistol di atas cermin meja pameran dan memecahkan cermin itu dengan menggunakan tukul besi.

“Suspek memasukkan barang kemas bernilai RM100,000 ke dalam sebuah beg silang sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal yang diletak di belakang kedai terbabit.

“Pemilik kedai telah mengambil gambar seorang daripada suspek yang masuk dan meninjau keadaan di dalam kedai. Melalui gambar yang diambil itu, kami berjaya mengesan dan menahan semua suspek.

Sementara itu, Mior Farid mengingatkan semua pengusaha kedai emas supaya menggunakan cermin meja pameran yang lebih berkualiti dan tebal bagi mengelakkan kegiatan samun senang dilakukan penjenayah.

“Tiga minggu lalu, kami telah mengadakan pertemuan dengan pengusaha-pengusaha kedai emas dan memberi nasihat kepada mereka supaya berhati-hati dan sekiranya ada individu yang mencurigakan segera maklumkan kepada polis,” katanya. – Bernama