Projek RMK-11 Di Langkawi: Shaiful Hazizy Bidas Pengerusi Pakatan Harapan Kedah


ALOR SETAR - Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir dibidas keras Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah ekoran cuba memperlekeh usaha Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak membangunkan Pulau Langkawi.

Ketuanya, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, projek yang bernilai lebih daripada RM1.3 bilion itu merupakan inisiatif Kerajaan Pusat di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dan bukanlah 'dedak' seperti yang didakwa Mukhriz.

Rasionalnya, beliau mempersoalkan kembali tentang segala projek di bawah RMK-4 hingga RMK-8 yang diumum bapa Mukhriz, Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika berjawatan Perdana Menteri dulu sama ada wajar juga dianggap sebagai "dedak".


"Kalau pengumuman tentang pembangunan di Langkawi yang bernilai RM1.3 bilion di bawah RMK-11 itu dianggap 'dedak', maka apakah wajar kita anggap semua projek di bawah RMK-4 hingga RMK-8 dulu sebagai 'dedak' juga?

"Biasiswa pelajar dan bantua membaik pulih rumah juga "dedak"?," kata Shaiful Hazizy kepada Kedahnews.com, membidas pedas kenyataan Mukhriz yang dianggap dangkal itu.

Mohd Najib baru-baru ini dalam kunjungannya ke Langkawi mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.315 bilion untuk lima projek baharu kerajaan di bawah RMK-11 yang merangkumi pembinaan bangunan tambahan Hospital Langkawi bernilai RM500 juta.

Selain itu, beliau turut mengumumkan projek mengatasi masalah bekalan air (RM600 juta), menaik taraf Jalan Bulatan Lapangan Terbang- Pulapol Langkawi (RM50 juta), projek kuarters baharu petugas kesihatan (RM135 juta), serta projek balai bomba dan kuarters baharu di Padang Matsirat (RM30 juta).


Susulan daripada ura-ura bapanya yang dikatakan mahu bertanding di Langkawi, Mukhriz semalam dilapor cuba memperlekeh projek-projek pembangunan infrastruktur dan penyelesaian masalah penduduk Langkawi itu sebagai "dedak".

Selain Pemuda UMNO Kedah, turut menyelar pandangan Mukhriz itu adalah penduduk Langkawi sendiri yang menegaskan tentang keperluan pembangunan infrastruktur pulau pelancongan itu berbanding projek hotel berbintang yang hanya menguntungkan 'syarikat kroni' pemimpin tertentu sahaja sebelum ini. - Kedahnews.com